VOLKSWAGEN tawar nilai tambah pada edisi istimewa Polo Allstar.
VOLKSWAGEN tawar nilai tambah pada edisi istimewa Polo Allstar.
Lizam Ridzuan


Tampil lebih sporty dan tersendiri, itu gaya edisi istimewa Volkswagen Polo Allstar yang sudah berada di pasaran tempatan untuk pembeli yang mahukan kenderaan kompak bergaya dan fleksibel.

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), pengedar utama kenderaan Volkswagen di negara ini menawarkan nilai tambah kepada model Polo sesuai bagi mereka yang ingin sesuatu yang berbeza.

Pengarah Urusannya Erik Winter berkata, model ini diperkenalkan kepada umum ketika acara Carlist, my MAA Drive, Test & Buy di Shah Alam minggu lalu yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Henry Sum Agong.

“Rangkaian Allstar baru ini adalah edisi khas bagi model utama Volkswagen dengan ciri dan naik taraf kosmetik untuk kelihatan menarik serta sporty,” katanya.

Mengekalkan kapasiti 1.6 liter sama dengan Polo biasa antara pembaharuan yang diberi merangkumi ruang dalaman dengan tempat duduk kulit jahitan kontra menawan dan perkataan Allstar menambah ciri premium pada karpet serta plat sisi.

Antara lain yang menyerlah ialah pedal aluminium gaya perlumbaan, spoiler belakang sporty, kemasan pintu berwarna hitam dengan nilai keseluruhan RM6,000 menjadikan ia pilihan menarik.

Sistem hiburan dan maklumat juga tersedia dipasang termasuk dilengkapi MirrorLink serta paparan radio skrin sesentuh bersaiz lima inci untuk ketersambungan USB, iPod, slot kad SD, Bluetooth dan empat pembesar suara.

Ciri standard lain untuk Polo pula, ia dilengkapi enjin Multi Point Injection (MPI) 16 injap berkuasa 105PS dengan tork maksimum 153Nm serta kotak gear enam kelajuan. Model itu juga sebuah kenderaan jimat petrol dengan catatan penggunaan bahan api sekitar 6.3 liter bagi setiap 100 kilometer.

Polo Allstar dijual pada harga asas bermula RM72,888 dengan empat pilihan warna iaitu kelabu (Carbon Steel Grey), perak (Reflex Silver), putih (Candy White) dan merah (Flash Red) dengan lima tahun waranti daripada pengeluar.

Untuk melihat model ini dengan lebih dekat, orang ramai boleh mengunjungi pengedar sah Volkswagen di seluruh negara. Selain Polo, antara model yang bakal menerima sentuhan istimewa ini termasuklah Vento Allstar pada hujung bulan ini dan Jetta Allstar pada Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2017 @ 5:50 AM