IMEJ baharu Volkswagen bakal digunakan di semua pusat jualan dan servis di negara ini secara berperingkat.
IMEJ baharu Volkswagen bakal digunakan di semua pusat jualan dan servis di negara ini secara berperingkat.
Lizam Ridzuan


VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) sebagai pengedar utama kenderaan jenama Volkswagen di negara ini memperkenalkan imej baharu jenama itu dengan rekaan logo 'New Volkswagen'.

Menampilkan rekaan dua dimensi rata dengan karakter 'Vibrant Power', logo itu kini tampil lebih segar bakal digunakan di kesemua pusat pameran, aktiviti kempen pemasaran, laman web juga pada model serba baharu mereka pada masa akan datang.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata dengan berpandukan enam prinsip yang difokuskan kepada aplikasi digital dan elemen insan, ia menampilkan sentuhan yang berbeza jika dibandingkan dengan konsep logo sebelumnya dan juga bakal menggunakan suara wanita buat pertama kalinya untuk edisi elektronik.

"Selaras dengan pengenalan era baru buat jenama ini terutama dalam aspek pemasaran digital yang mana kami menjadi jenama kenderaan pertama di negara ini memulakan jualan kenderaan menerusi laman e-dagang dan pelancaran ruang pameran maya bagi kemudahan pelanggan mendapatkan model pilihan mereka,

"Serta prinsip rekaan yang mengutamakan pelanggan dan pendekatan digital, sikap dan semangat baru menjadikankan ia sebagai hala tuju kami dalam menawarkan pengalaman terbaik kepada pemilik Volkswagen," katanya dalam satu sidang media secara maya hari ini.

Melalui perkembangan lain dua model baharu iaitu Arteon dan Passat R-Line bakal menjengah ke pasaran tempatan tidak lama lagi dengan kit badan lebih sporty serta tampil menyerlah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 6:41 PM