GAMBAR fail kanak-kanak Palestin menunggu makanan dimasak, dalam situasi kekurangan bekalan makanan akibat konflik berterusan. FOTO Reuters.
GAMBAR fail kanak-kanak Palestin menunggu makanan dimasak, dalam situasi kekurangan bekalan makanan akibat konflik berterusan. FOTO Reuters.
Bernama-Anadolu

Gaza City: Seramai tiga lagi kanak-kanak Palestin meninggal dunia di sini akibat kekurangan zat makanan dan dehidrasi, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza pada Jumaat malam.

Jurucakap kementerian Ashraf al-Qudra berkata, kanak-kanak itu meninggal dunia di Hospital Al-Shifa, menjadikan jumlah kanak-kanak yang meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan kepada 23 orang sejak 7 Okt lalu, lapor Agensi Anadolu.

Kebanyakan kanak-kanak itu meninggal dunia di hospital di utara Gaza yang kini dikepung tentera rejim menyebabkan penduduk Palestin berada di ambang kebuluran, menurut kenyataan kementerian sebelum ini.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 19 Feb memberi amaran bahawa peningkatan mendadak dalam kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak, wanita hamil dan ibu yang menyusukan anak di Gaza menimbulkan "ancaman serius" kepada kesihatan mereka.

Serangan berterusan Israel setakat ini mengorbankan lebih 30,800 orang dan 73,00 lagi cedera selain menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 2:59 PM