AYDA akui hubungan yang dibina bersama Nabil ibarat satu hadiah istimewa dari Tuhan.
AYDA akui hubungan yang dibina bersama Nabil ibarat satu hadiah istimewa dari Tuhan.
Najiy Jefri


KEMESRAAN yang dicipta pasangan selebriti Ayda Jebat dan Nabil Mahir jelas terpancar di wajah mereka tatkala memuat naik gambar dan video bersama di laman media sosial masing-masing.

Malah, ketika pasangan ini diundang ke beberapa program hiburan di stesen televisyen tempatan turut dapat disaksikan bahawa mereka mempunyai keserasian yang utuh dan serius dalam perhubungan.

Ayda yang selamat bergelar tunangan kepada Nabil pada April lalu mengakui hubungan yang dibina ibarat satu hadiah istimewa yang ditakdirkan untuk dirinya.

"Alhamdulillah hubungan kami berjalan dengan baik dan kini mengenali antara satu sama lain. Kami cuba mencari keserasian sebaik mungkin supaya masing-masing faham perangai dan 'mood' bagi memudahkan proses perhubungan ini.

"Nabil ibarat satu hadiah istimewa yang Tuhan berikan untuk saya cipta bersamanya. Insya-Allah saya akan menjaga hubungan ini sebaik mungkin dan menjadi insan terbaik untuk dia dan bakal mentua," katanya.

Melangsungkan pertunangan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi kaedah dalam talian, Ayda mendedahkan dia dan Nabil bakal disatukan tahun depan.

"Jika mengikut perancangan, kami nak berkahwin tahun ini, tapi disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, kami reda dan mencari tarikh baharu.

"Jika tiada aral melintang saya dan Nabil akan berkahwin awal tahun depan, tetapi semuanya masih di peringkat awal.

"Kami belum bersedia untuk berkongsi secara terperinci mengenai tarikh rasmi pernikahan kami. Cuma mohon doakan semoga urusan majlis bahagia ini berjalan lancar dan mengikut seperti dirancang kedua-dua," katanya.

Menurut Ayda, dia tidak akan sesekali merahsiakan majlis perkahwinannya kepada umum kerana ingin berkongsi hari bahagianya dengan peminat yang selama ini menyokong kerjaya seninya.

"Tidak apa yang perlu dirahsiakan. Apa yang ingin dilakukan ini adalah perkara yang baik. Saya juga perlukan doa peminat supaya ikatan perkahwinan berkekalan hingga akhir hayat.

"Saya mahu berkongsi kebahagiaan ini bersama. Selama ini peminat yang sentiasa menyokong dan memberikan sepenuh kasih sayang kepada saya untuk terus bertahan dalam industri seni.

"Jadi saya juga ingin berkongsi setiap momen indah yang bakal dicipta saya dan Nabil dengan mereka," katanya.

Nabil matang

Pasti ramai yang tertanya-tanya apakah istimewanya Nabil di mata Ayda sehingga mereka nekad untuk melangkah ke fasa seterusnya.

Memandangkan ramai yang bertanya, Ayda membongkar sikap Nabil yang ramai tidak tahu dan jarang dikongsikan kepada umum.

"Saya akui kadang-kadang saya juga tertanya-tanya kenapa saya memilih dia. Namun, jujur saya amat tertarik dengan sikapnya yang lebih banyak baik daripada apa yang saya tak suka.

RANCANG berkahwin awal tahun depan.
RANCANG berkahwin awal tahun depan.

"Lebih penting, dia dan keluarganya mempunyai pegangan agama yang kuat dan saya percaya dia mampu membimbing saya ke arah yang lebih baik.

"Dia juga pandai menjaga hati dan tidak suka melakukan perkara yang saya tak suka. Walaupun ramai yang beranggapan dia seperti belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab ini, tapi khalayak hanya melihat secara luaran dan tidak mengenalinya secara mendalam," katanya.

Teliti skrip setiap drama

Selepas membintangi drama bersiri Gadis Luar Biasa bersama Remy Ishak, Ayda kini mempertimbangkan beberapa tawaran drama.

Kata Ayda, setiap tawaran yang datang dia akan meneliti skrip yang diberikan kerana mahu setiap naskhah yang dibawakan memberi kelainan kepada dirinya dan untuk tatapan penonton.

MAHU berkongsi kebahagiaan bersama peminat.
MAHU berkongsi kebahagiaan bersama peminat.

"Dari dulu saya suka mencabar kredibiliti lakonan saya. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu membawakan watak sama berulang kali. Saya suka memberi warna baharu dalam kerjaya seni.

"Sudah ada beberapa tawaran yang datang, tapi saya masih meneliti mana yang terbaik.

"Saya juga menantikan peluang untuk berlakon filem semula. Jujur berlakon filem memberi satu pengalaman yang berbeza dan cabaran baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 6:00 AM