GAMBAR kenangan Mohd Najmi dan ibunya, Wan Fatimah. FOTO Ihsan Mohd Najmi Halim
GAMBAR kenangan Mohd Najmi dan ibunya, Wan Fatimah. FOTO Ihsan Mohd Najmi Halim
Redzuan Muharam


Larut: Seperti anak muda lain, Mohd Najmi Abd Halim juga ada memasang impian untuk dikecapi, namun mengetepikannya demi menjaga ibu tercinta, Wan Fatimah Wan Embong yang kini menghidap masalah buah pinggang tahap lima.

Lantaran mahu memberi tumpuan menjaga ibunya, Mohd Najmi, 34, yang menetap di Taman Permai Jaya, Selama, di sini tidak bekerja tetap dan kini hanya mencari rezeki sebagai pembantu khidmat penghantaran di sebuah kedai perabot selain mengambil tawaran pelakon tambahan daripada syarikat produksi.

Menurut Mohd Najmi, sebagai anak bongsu daripada tiga beradik, dia perlu berkorban kerana abang dan kakaknya sudah berkeluarga serta tinggal di luar kampung halaman.

Jadi, katanya, hanya dia yang menjadi sandaran untuk menjaga dan menguruskan ibunya yang berusia 69 tahun.

"Bukan tak nak (kerja tetap) cuma kalau pergi kerja dalam keadaan emak tak sihat saya akan jadi susah hati.

"Akhirnya nanti, saya juga tak tenang nak kerja kerana takut jadi apa-apa dengan emak memandangkan kami hanya tinggal berdua di rumah selepas abang dan kakak kahwin, ayah pula meninggal dunia kira-kira 12 tahun lalu.

"Abang dan kakak ada ajak emak tinggal bersama mereka namun emak tak nak kerana lebih selesa tinggal di kampung. Jadi, apa saya boleh lakukan adalah ambil upah kerja dengan kedai perabot dan tawaran jadi pelakon tambahan walaupun bayarannya tak banyak," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Mohd Najmi berkata, sebelum masalah buah pinggang, ibunya pernah menghidap barah pangkal rahim namun sudah bebas daripada penyakit itu.

"Asalnya emak sihat... cuma enam tahun lalu, emak kerap sakit dan dapat tahu ada ketumbuhan selepas jalani pemeriksaan di Hospital Selama. Emak kemudian dirujuk ke HCTM UKM Kuala Lumpur untuk menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada 2020 sebelum disahkan menghidap barah pangkal rahim.

"Tapi dengan izin Allah SWT, emak disahkan bebas barah itu namun kegembiraan kami tak lama apabila doktor sahkan emak ada masalah buah pinggang tahap lima. Jadi, emak memang perlukan perhatian dan penjagaan rapi tambahan pula matanya pun sudah samar-samar," katanya.

Menurut Mohd Najmi, ibunya perlu melakukan rawatan dialisis tapi belum dapat diteruskan kerana ada pendarahan serta dikehendaki menjalani pembedahan membuang selaput mata pada 4 Julai depan di HCTM UKM.

"Saya harap pembedahan itu nanti berjalan lancar dan sebagai anak, sudah tentu saya nak tengok emak kembali sihat. Andai kata emak tiada, saya boleh jadi hilang arah kerana masih harapkan emak walaupun sudah dewasa kerana kami tak pernah berpisah.

"Saya juga anak paling rapat dan manja dengan emak kerana nak makan pun kena ada emak jadi tak dapat bayangkan hidup tanpanya. Lagipun saya belum berkeluarga jadi hidup akan sunyi sangat jika kehilangan emak," katanya.

Mengenai hala tujunya, Mohd Najmi berkata, selagi terdaya, dia akan terus menjaga dan menabur bakti buat ibunya.

"Saya tak boleh fikir hal lain kerana apa pun, kena dahulukan emak walaupun minat dan mahu mengembangkan lagi kerjaya dalam lakonan.

"Tapi saya percaya, jika ada rezeki, tak akan ke mana jadi hanya usaha, selebihnya serah kepada Allah SWT untuk tentukan apa yang berlaku di kemudian hari," katanya yang membuat kemunculan pertama sebagai pelakon tambahan dalam drama bersiri Gerak Khas pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 8:01 PM