HUBUNGAN intim yang dingin menjadi punca perkahwinan Miss N dan suami berakhir.
HUBUNGAN intim yang dingin menjadi punca perkahwinan Miss N dan suami berakhir.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Isteri pengotor, suami anak emak, isteri tidak mendapat kepuasan seks, campur tangan mentua dalam rumah tangga dan pelbagai lagi menjadi punca perceraian dalam kalangan suami isteri.

Alasan diberi mungkin nampak remeh namun ia memberikan kesan besar terhadap pasangan suami isteri sehingga membawa kepada episod perpisahan.

Perunding kewangan yang hanya mahu dikenali sebagai Miss N, 36, berkata, hubungan intim yang dingin dengan suami yang dikahwini selama empat tahun menjadi punca perkahwinan mereka berakhir.

"Kami berkenalan selama tiga bulan sebelum berkahwin pada 2016. Itu pun atas desakan keluarga.

"Ketika itu, saya berumur 29 tahun dan bekas suami pula 39 tahun. Hubungan intim kami cukup dingin kerana suami gagal dalam menjalankan tugasnya.

"Saya mahukan anak namun akibat hubungan intim yang dingin, ia menjadi sukar dan akhirnya, kami berpisah," katanya.

Menurutnya, sebelum berpisah, dia berusaha membantu suami dengan membelikan makanan tambahan dan sebagainya namun dakwanya, lelaki terbabit kelihatan enggan berubah.

Katanya, mungkin lelaki terbabit malu dan kerana itu enggan meneruskan pelbagai inisiatif dilakukan termasuk bertemu doktor pakar.

"Kami bercerai pada 2020 iaitu ketika pandemik Covid-19 namun kami merahsiakannya daripada pengetahuan kedua-dua belah keluarga.

"Sehingga kini, mereka masih menganggap kami masih suami isteri. Mereka juga tidak curiga kerana kami jarang berkongsi gambar bersama di media sosial selain ada ketikanya, bekas suami ikut saya pulang ke rumah keluarga jika ada majlis tertentu," katanya.

Namun, menurutnya, sejak setahun lalu, hubungannya dengan bekas suami kembali baik.

"Insya-Allah, kami dalam proses untuk rujuk. Ia saya lakukan kerana banyak berfikir berkaitan kebaikan yang bekas suami pernah lakukan untuk saya, malah dia juga berjanji mahu berubah," katanya.


Perkahwinan 7 tahun ranap dek sikap 'anak emak' suami

Kuala Lumpur: Perkahwinan dibina selepas tujuh tahun bercinta akhirnya berkecai gara-gara ibu mentua dikatakan terlalu 'mengongkong' hidup anak lelaki serta menantunya.

Itu situasi dilalui pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Salma, 37, apabila bekas suami adalah 'anak emak'.

Katanya, bekas suami akan menuruti segala kemahuan dan telunjuk ibunya hingga tidak mampu membuat keputusan sendiri.

Menurutnya, perkahwinan mereka hanya bertahan dua tahun selain dikurniakan seorang cahaya mata.

"Sebagai suami isteri, pada awalnya, kami tidak bermasalah langsung. Namun, kerana saya berkahwin dengan anak lelaki tunggal dalam keluarga dan memang anak emak, semua urusan rumah tangga dikawal oleh ibu mentua.

"Jadi, kami selalu bertengkar kerana bekas suami hendak menjaga hati ibunya dan mengharapkan supaya saya sentiasa memahami.

"Ibu mentua pula langsung tidak memberi muka kepada kami berdua untuk mencuba menguruskan rumah tangga. Semuanya perlu akur dengan arahan dia. Malah, bekas suami diminta untuk memilih sama ada mahu bersama ibunya atau saya," katanya.

"Malah, sewaktu saya hendak bersalin pun menjadi isu besar kerana kami berdua memilih hospital biasa yang tidak kena dengan selera ibu mentua.

"Akhirnya, kesabaran saya berakhir sebelum memilih untuk berpisah," katanya lagi.

Menurut Salma, ibu mentuanya turut mengawal dan memantau soal penyediaan makanan untuk anak lelakinya itu.

"Selepas berkahwin, kami duduk di rumah sendiri tetapi berdekatan dengan rumah ibu mentua. Setiap hari, perlu balik ke rumah mentua. Sikap sebenar ibu mentua ini berlaku selepas kami berkahwin.

"Cara saya memasak dan apa yang dimasak pun ibu mentua akan bising. Dia selalu cakap anaknya tidak makan apa yang saya masak sedangkan bekas suami berselera saja dengan apa yang saya sediakan," katanya.

Menurut Salma, bekas suami pernah membantah tindakan ibunya itu namun ia disusuli dengan 'drama' air mata.

"Pernah juga bekas suami bantah, tapi setiap kali itu juga ibu mentua akan berdrama dan cakap macam-macam.

"Contoh, syurga terletak di bawah tapak kaki ibu. Boleh dikatakan, hampir setiap hari ada saja isu yang dibangkitkan," katanya.

Menurutnya, bekas bapa mentua pula turut mengikut saja apa yang dikatakan isteri, ditambah dengan pangkat dan kerjaya yang lebih tinggi daripada suaminya itu.

"Malah, ketika kami hendak bercerai, ibu mentua tidak menghalang.

"Pengajaran terbesar, ibu lepaskanlah anak bila anak sudah berkahwin. Jangan ikat mereka dengan syurga di telapak kaki ibu," katanya.

Ali Najmi Mohd Noordin
Ali Najmi Mohd Noordin

Cerai talak tiga sebab bini suruh beli santan

Kuala Lumpur: "Isteri sudah tidak cantik lagi selain suami kerap ke pusat urut antara yang direkodkan menjadi punca perceraian dalam kalangan suami isteri," kata Pendakwa Syarie Kanan di Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (Japenswp) Selangor Ali Najmi Mohd Noordin.

Menurut beliau, sebahagian besar perceraian membabitkan isu remeh juga berlaku dalam kalangan pasangan berusia 20-an hingga 30-an.

"Saya pernah berkhidmat sebagai Hakim Syarie selama sembilan tahun di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat, Klang dan Petaling. Jadi, saya banyak berdepan kes perceraian yang puncanya boleh dianggap membabitkan kes remeh.

"Contoh, ada satu kes, suami menceraikan isteri kerana wanita berkenaan dikatakan tidak lagi cantik seperti di awal perkahwinan. Alasannya, si isteri bila sudah berkahwin tidak pandai urus diri, pengotor dan tidak pandai memasak.

"Sedangkan sebelum kahwin semuanya indah. Selepas kahwin, dikatakan hanya indah khabar dari rupa," katanya.

Menurut Ali Najmi, perlu diingat, fitrah manusia terutama lelaki yang sudah berkahwin, mereka memang mahu melihat si isteri sentiasa dalam keadaan cantik.

Malah, menurut beliau, antara faktor utama lelaki jatuh cinta dengan wanita berkaitan adalah kerana paras rupanya.

"Jadi, lelaki memang suka pada kecantikan yang berkekalan. Justeru, dalam perkara ini, si isteri perlu memainkan peranan juga sebenarnya.

"Usaha untuk menjaga penampilan diri selepas berkahwin. Penampilan perlu dijaga demi suami," katanya.

Menurutnya yang juga Mantan Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess), kes suami kerap ke pusat urut juga menjadi antara punca si isteri menuntut cerai.

"Pernah juga saya kendalikan kes yang mana si isteri memohon cerai disebabkan suami gemar ke pusat urut. Pada awalnya ia kelihatan remeh namun menjadi serius apabila si isteri terjumpa kondom dalam beg suami.

"Itu belum lagi kes yang si isteri menuntut cerai kerana suami mempunyai tabiat gemar beronani dan menonton video lucah. Alasan suami adalah, dia berasa lebih puas melakukan perkara terbabit sedangkan ia mengguris perasan isteri," katanya.

Menurut Ali Najmi, perkara terbabit perlu dielakkan oleh seorang suami demi menjaga kerukunan rumah tangga.

Kata Ali Najmi, beliau juga pernah mengendalikan kes perceraian pasangan yang baharu tiga bulan berkahwin kerana mendapati si isteri sudah tidak lagi dara.

"Pasangan ini bercerai angkara pihak ketiga selain mendapati isterinya tidak lagi dara. Ia berlaku kerana si isteri tidak berlaku jujur kerana mahu menyembunyikan aib. Malangnya, si suami tidak boleh terima perkara itu," katanya.

Berkaitan satu kes di Klang, Selangor, menurut Ali Najmi, ia cukup mendukacitakan.

"Pasangan yang sudah berpangkat datuk dan nenek ini bercerai talak tiga selepas bergaduh soal makanan.

"Usia perkahwinan mereka mencecah 40 tahun. Kejadian berlaku sehari sebelum menyambut Aidilfitri. Si isteri minta suami belikan santan untuk memasak rendang," katanya.

Bagaimanapun, ia menyebabkan suaminya berang.

"Mungkin disebabkan sudah tidak tahan dengan perangai isterinya, si suami terus melafazkan talak tiga.

"Waktu itu, tiada apa lagi yang boleh diselamatkan. Nasi sudah menjadi bubur," katanya.

Oleh itu, menurut Ali Najmi, setiap pasangan, membabitkan suami dan isteri, perlu menjalankan peranan serta tanggungjawab mereka dengan baik.

"Suami isteri saling melengkapi dan wajar untuk kedua-duanya berbincang mencari jalan penyelesaian jika berdepan isu rumah tangga" katanya.


Jangan bercerai selagi tak usaha cari penyelesaian

Kuala Lumpur: "Secara asasnya, Allah SWT mensyariatkan perceraian kepada pasangan yang tidak boleh hidup bersama lagi," kata Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari, Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff.

Menurut beliau, Islam bagaimanapun menggalakkan setiap pasangan untuk berbincang terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan bercerai.

"Setiap masalah yang berlaku dalam rumah tangga perlu dikenal pasti isunya. Sama ada ia isu kecil ataupun besar.

"Kalau kecil, cuba selesaikannya secara bijaksana dan jangan merosakkan rumah tangga. Jangan bercerai tanpa mencari penyelesaian terlebih dahulu.

"Begitulah juga dalam isu besar. Jika isu ini tidak dapat diselesaikan selepas mesyuarat dan perbincangan dilakukan di antara kedua belah pihak, maka perceraian adalah yang terbaik," katanya.

Menurut beliau, ia juga sama dalam isu perceraian membabitkan isu remeh dan tidak masuk akal.

"Contoh, suami malas ataupun mentua masuk campur sehingga rumah tangga itu rosak dan akhirnya bercerai.

"Jika mesyuarat dan berbincang menemui jalan buntu, cuba cari penyelesaian lain. Jika tidak boleh juga, cuba cari hakam iaitu orang tengah untuk bantu selesaikan.

"Jika masih lagi gagal, barulah pergi ke langkah terakhir iaitu perceraian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 12:00 PM