Najiy Jefri

Putrajaya: "Sebenarnya saya nak menggantikan majlis resepsi yang sepatutnya berlangsung tahun lepas ini kepada majlis akikah atau 'baby shower', tapi hampir setahun menanti kehadiran zuriat kami belum dikurniakan rezeki lagi."

Ini kata pelakon, Janna Nick mengenai majlis resepsi kedua yang diadakan sempena sambutan ulang tahun pertama perkahwinan bersama Dini Schatzmann yang berlangsung di sebuah hotel mewah di Putrajaya, kelmarin.

Janna berkata, dia dan Dini sudah lama mengimpikan kehadiran anak, namun masih menantikan rezeki itu.

"Sepatutnya majlis resepsi kedua ini berlangsung tahun lepas sebab segala tempahan termasuk dewan dan busana perkahwinan sudah dibuat. Tapi kami tangguhkan sebab menghargai majlis pernikahan yang diadakan di Pulau Langkawi, Kedah, tahun lalu. Kami rasa tiada keperluan untuk mengadakan satu majlis lagi.

"Memandangkan segala tempahan sudah dibayar dan wang pendahuluan tidak boleh dikembalikan, mahu atau tidak saya kena buat satu lagi majlis di sini. Jadi kami harap dengan adanya majlis resepsi kedua ini ramai yang dapat mendoakan kehadiran bayi dalam perut saya.

"Saya memang nak timang anak secepat mungkin kerana saya sudah mencapai segala yang diinginkan dalam karier seni dan kehidupan saya. Tiada apa lagi yang saya nak kejar selain menjadi seorang ibu," katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Dini berkata, sebagai suami dia selalu mengingatkan isterinya supaya tidak putus harapan dan teruskan berdoa agar dikurniakan zuriat.

"Alhamdulillah ramai yang mengaminkan doa kami apabila menyebut mengenai nak timang anak. Memang itu adalah salah satu keinginan kami sekarang.

"Tapi dalam waktu sama kami selalu mengingatkan satu sama lain supaya jangan putus harapan dan teruskan berdoa serta perlu percaya kepada perancangan Allah SWT kepada hamba-Nya.

"Siapa tahu dalam ratusan tetamu yang hadir pada majlis resepsi kedua ini ada doa yang diangkat dan kami dikurniakan cahaya mata," katanya.

Pada majlis resepsi kedua itu, ramai selebriti hadir yang memeriahkan acara itu seperti Erma Fatima, Nora Danish, Ummi Nazeera, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Diana Danielle, Emma Maembong, Nazim Othman, Keith Foo, Puteri Sarah Liyana dan Sherry Alhadad.

Dini dan Janna melangsungkan perkahwinan di sebuah resort mewah di Langkawi pada 10 Jun, tahun lalu.

Majlis tertutup itu menyaksikan Janna menerima mas kahwin sebanyak RM2,703 sebagai simbolik tarikh perkenalan mereka 27 Mac 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 3:06 PM