DAYANG Nurfaizah akui wartawan hiburan Harian Metro beri impak besar dalam perjalanan karier.
DAYANG Nurfaizah akui wartawan hiburan Harian Metro beri impak besar dalam perjalanan karier.
Oleh Najiy Jefri


KEHILANGAN penulis lirik dan wartawan hiburan akhbar Harian Metro, Allahyarham Rudy Imran Shamsuddin yang meninggal dunia akibat kanser usus dua tahun lalu masih segar dalam ingatan penyanyi terkenal Dayang Nurfaizah.

Dayang atau nama sebenarnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 42, mengakui masih merindukan arwah yang banyak berjasa untuk perjalanan karier seninya sebagai penyanyi.

Buktinya pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-29, lagu Di Pintu Syurga yang liriknya ditulis Allahyarham Rudy menggunakan nama pena Iman Imran, diumum pemenang tempat ketiga dan Dayang meraih trofi Vokal Terbaik.

Kejayaan lain yang turut diukir Dayang bersama Allahyarham Rudy adalah apabila lagu Lelaki Teragung diumumkan juara AJL31.

Dayang yang ditemui pada persembahan khas sempena meraikan ulang tahun TV3 yang ke-40 di Muzium Telekom baru-baru ini dilihat sebak apabila menyanyikan lagu yang ditulis Allahyarham Rudy.

"Setiap kali membuat persembahan pasti rasa tak lengkap kalau tidak menyanyikan lagu yang ditulis oleh arwah.

"Saya sangat merinduinya dan arwah sentiasa ada dalam ingatan saya walaupun di awal pembabitan saya sebagai penyanyi saya takut dengan beliau.

"Tapi selepas kami saling kenal, dia sahabat yang sentiasa ambil berat dan selalu beri nasihat untuk saya terus berjaya dalam bidang ini," katanya.

Tambah Dayang, sepanjang mengenali arwah terlalu banyak momen dan kejayaan indah yang dilakar bersama.

"Setiap kali menyanyikan lagu yang ditulis arwah saya mesti teringat segala momen indah bersamanya.

"Kehilangan arwah Rudy cukup memberi kesan kepada diri saya. Disebabkan itu saya selalu rasa tak lengkap kalau tidak menyanyikan lagu tulisan arwah," katanya kepada Harian Metro.

Pada persembahan khas sempena ulang tahun ke-40 TV3 baru-baru ini, Dayang menyampaikan lima buah lagu iaitu Di Pintu Syurga, Lelaki Teragung, Dayang Sayang Kamu, Umpan Jinak Di Air Tenang dan Ketipang Payung.

Kira-kira 150 peminat menghadiri pentas unik yang direka khas seorang artis sewaktu persembahan Dayang pada acara itu.

Kata Dayang, banyak kenangan manis dilakar bersama TV3 dan dia berasa cukup bertuah sentiasa diberi peluang terbabit dalam program dianjurkan.

"Terlalu banyak kenangan manis bersama TV3 seperti diberi peluang beraksi di pentas AJL, kemudian saya pernah terbabit dalam program realiti Mentor dan beberapa program lain.

"TV3 sentiasa beri peluang dan sokongan kepada saya untuk memastikan karier seni saya terus berkembang. Saya terhutang budi dengan TV3 yang tidak pernah jemu dengan saya," katanya.

Ditanya mengenai perancangan untuk mengadakan konsert solo, Dayang berkata, buat masa ini ada tanggungjawab lain yang perlu diselesaikan,

"Tidak dapat dinafikan setiap penyanyi ada keinginan untuk buat konsert walaupun tawaran itu sentiasa ada.

"Namun untuk buat konsert kita kena ada perancangan rapi. Saya pernah pentaskan konsert di pelbagai lokasi seperti di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) dan Istana Budaya.

"Walaupun lokasi terbabit besar, tetapi tempatnya agak terhad. Justeru, jika ada peluang kembali mementaskan konsert, mungkin di lokasi lebih besar seperti stadium," katanya.

Kata Dayang lagi, sebelum bersedia mengadakan konsert solo dia perlu menyiapkan projek album solo terbaharunya yang lama tertangguh.

"Sekurang-kurangnya bila album dah siap dilancarkan ada lagu baharu yang boleh saya persembahkan pada konsert itu nanti.

"Cuma buat waktu ini, fokus saya hanya untuk siapkan album," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 6:00 AM