MOHD Khairul dan tenaga pengajar bergambar dengan murid. FOTO ihsan Mohd Khairul Izzuddin Shaari
MOHD Khairul dan tenaga pengajar bergambar dengan murid. FOTO ihsan Mohd Khairul Izzuddin Shaari
MOHD Khairul bergambar dengan murid. FOTO ihsan Mohd Khairul Izzuddin Shaari
MOHD Khairul bergambar dengan murid. FOTO ihsan Mohd Khairul Izzuddin Shaari
Redzuan Muharam


DEMI memastikan muridnya mendapat kefahaman yang jelas mengenai sesuatu topik, guru Matematik, Mohd Khairul Izzuddin Shaari mengambil inisiatif merakam sendiri videonya mengajar dengan menggunakan telefon pintar di rumah.

Mohd Khairul Izzuddin, 33, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Geris, Kampung Kuala Geris, Kelantan berkata, kaedah itu adalah alternatifnya selain memberi latihan kepada muridnya menerusi kumpulan Whatsapp.

Menurut Mohd Khairul Izzuddin, menerusinya perkongsian video berkenaan, murid dapat gambaran lebih jelas sekalipun tidak mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam bilik darjah.

"Sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tiada masalah kerana murid dan guru ada sumber untuk menjalankan sesi PdP.

"Namun, ada sedikit kekangan dalam tempoh PKP apabila segelintir murid tidak membawa pulang buku latihan manakala guru tiada buku teks bersama.

"Malah, tidak semua murid memiliki telefon pintar dan jika ada sekalipun adalah kepunyaan ibu bapa mereka," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, keadaan itu menjadikan tidak semua murid dapat dihubunginya dalam satu-satu masa.

Disebabkan itu, dia cuba jadikan video yang dirakam itu sebagai nilai tambah PdP dalam tempoh PKP.

"Ada satu masa, saya hanya dapat menghubungi tiga daripada 22 murid saja. Manakala, hanya 10 daripada 18 murid tahun lima dapat saya hubungi dalam tempoh PKP.

"Walaupun bilangan murid tidak mencukupi, latihan tetap perlu diberikan menerusi WhatsApp dan pada masa sama saya kongsikan video yang dirakam supaya mereka lebih faham.

"Lagipun, saya sudah terbiasa mengadakan aktiviti di kelas jadi video berkenaan adalah alternatif supaya murid tidak bosan," katanya.

Katanya, sebagai guru, dia perlu kreatif bagi memastikan murid sekolahnya yang menetap di kawasan pedalaman tidak ketinggalan.

"Saya tidak sempat memberi penerangan secara empat mata kepada murid sebelum PKP jadi perlu gunakan kreativiti sendiri. Biarpun tidak bersedia, inilah cabarannya kerana tugas sebagai guru tetap perlu dijalankan walaupun kami semua bekerja dari rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 10:54 PM