YUSLAN bergambar dalam Smart Classroom yang sudah siap diubah suai.
YUSLAN bergambar dalam Smart Classroom yang sudah siap diubah suai.
Suliati Asri


EMPAT tahun dibiarkan kosong disebabkan masalah pendawaian elektrik dan anai-anai, siapa sangka dalam masa hanya lapan bulan, bilik 'tinggal' itu bertukar menjadi 'Smart Classroom' atau ruang kelas pintar.

Itu yang berjaya dilakukan guru subjek Reka Bentuk Teknologi (RBT) di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Si Rusa (SKKBSR), Port Dickson, Negeri Sembilan, Yuslan Ibrahim.

Berkongsi bagaimana timbulnya idea untuk mentransformasi bilik 'tinggal' itu, Yuslan yang juga guru penyelaras teknologi maklumat (ICT) berkata, ia berlaku apabila bilik makmal komputer yang berada di tingkat bawah kurang diakses murid tahap dua.

Katanya, disebabkan lokasi bilik komputer itu sampai satu tahap murid tahun lima dan enam susah nak turun seterusnya mengakses bilik komputer.

"Bagi saya, rugi sangat bilik darjah yang besar ini tidak digunakan lebih-lebih lagi lokasinya di tingkat tiga sangat strategik untuk jadikan Smart Classroom.

"Bukan itu saja lokasinya juga yang berada di tingkat tiga bersebelahan bilik darjah tahun empat, lima dan enam.

"Di situ timbul idea mengubah suai bilik darjah itu," katanya.

Berstatus sekolah luar bandar bukan penghalang untuk mana-mana sekolah seiring dengan sekolah di bandar.

GURU RBT renovasi bilik ‘tinggal’ disebabkan masalah pendawaian elektrik, anai-anai jadi ‘Smart Classroom’.
GURU RBT renovasi bilik ‘tinggal’ disebabkan masalah pendawaian elektrik, anai-anai jadi ‘Smart Classroom’.

Kekangan pastinya ada, tetapi dengan usaha dan kegigihan, apa juga perancangan mampu direalisasikan.

Walaupun memahami keadaan kewangan dan peruntukan yang tidak mengizinkan, ia tidak mematahkan semangat Yuslan merealisasaikan impian itu.

Yuslan berkata, guru kena kreatif dan tidak boleh menunggu peruntukan.

"Sebagai guru yang sudah 16 tahun berkhidmat di sekolah ini, ada masa kita berasa ingin memerlukan satu persekitaran baharu.

KEADAAN bilik darjah sebelum ia diubah suai menjadi Smart Classroom.
KEADAAN bilik darjah sebelum ia diubah suai menjadi Smart Classroom.

"Jadi, kita kena buat sesuatu yang orang lain tak buat tanpa menunggu peruntukan tahunan. Keluar dari kepompomg, cari dana dan bajet,"katanya.

Menurutnya, jika guru sendiri tidak melakukan perubahan, kasihan pada murid kerana mereka adalah aset 'perniagaan' kita.

"Ini juga yang menjadi sumber kekuatan dan semangat saya serta rakan lain untuk terus memberikan yang terbaik buat mereka," katanya.

Idea itu kemudian dikongsikan kepada guru besar dan ketika itu juga guru besar Mustaza Shapiai memaklumkan bahawa Aeon Malaysia menerusi Yayasan Aeon Malaysia (MAF) menawarkan peruntukan untuk merealisasikan projek Smart Classroom di sekolah yang memerlukan.

KONSEP minimalis dipilih bagi memastikan murid lebih fokus kepada PdP.
KONSEP minimalis dipilih bagi memastikan murid lebih fokus kepada PdP.

"Bagi saya, ia adalah peluang keemasan dan sangat tepat pada masanya. Dari situ, saya membuat semua kertas kerja yang diperlukan untuk mendapatkan penajaan itu.

"Alhamdulillah, kami menjadi salah satu sekolah yang menerima penajaan dan pakej yang kami dapat adalah pengubahsuaian bilik darjah termasuk barangan pembelajaran berteknologi tinggi termasuk televisyen pintar (smart TV) dan banyak lagi,"katanya.

Dalam pemilihan konsep, kata Yuslan, mereka memilih konsep minimalis kerana tidak mahu bilik itu terlalu sarat seterusnya mengganggu fokus murid ketika proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berlangsung.

Pada masa sama katanya, dengan konsep itu juga penjagaannya dan penyelenggaraannya lebih senang dan mudah serta tidak membabitkan kos besar.

DEKORASI yang menarik di laman sekolah memberi keceriaankepada  warga SKKBSR.
DEKORASI yang menarik di laman sekolah memberi keceriaankepada warga SKKBSR.

"Dengan konsep minimalis ini, ia memudahkan semua pihak termasuk murid dan guru terutama dalam penjagaan.

"Selain itu, dengan konsep yang terlalu sarat serta menggunakan warna yang terang sangat, takut mengganggu fokus murid. Maklumlah sekolah rendah," katanya.

Smart Classroom ini bukan transformasi pertama yang dilakukan di SKKBSR kerana sebelum ini beberapa pengubahsuaian sudah dilakukan antaranya di laman sekolah, bilik mesyuarat, lobi sekolah dan bilik guru besar.

Namun, transformasi ini memberi makna dan nilai tambah tersendiri buatnya.

"Pada saya, projek ini adalah satu perkara atau pencapaian terbaik bukan saja buat saya, tetapi juga sekolah.

TRANSFORMASI bilik guru besar juga antara projek yang dilaksanakan di SKKBSR.
TRANSFORMASI bilik guru besar juga antara projek yang dilaksanakan di SKKBSR.

"Ini kerana projek ini dilaksanakan bermula daripada tiada apa-apa sehingga transformasi kelas ini berjaya dilakukan.

"Lebih penting adalah manfaatnya kepada murid.

"Selepas pengubah suaian bilik ini apa yang saya lihat murid sangat lebih bersemangat dan ceria untuk belajar," tambahnya.

Mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan bermula dari membuat kertas kerja, kini Smat Classroom itu digunakan sepenuhnya untuk semua mata pelajaran dengan sistem tempahan bilik, tetapi paling utama adalah subjek RBT dan Matematik.

Ini kerana katanya, dengan adanya smart TV, ia menjadikan sesi pembelajaran lebih interaktif dengan bantuan pelbagai menu yang futuristik.

MURID menunjukkan bilik darjah sebelum diubah suai.
MURID menunjukkan bilik darjah sebelum diubah suai.

"Ketika mengajar, kami boleh buat lakaran terus pada papan putih interaktif. Manakala pelajar boleh menonton video berkaitan topik yang dipelajari di YouTube.

"Lebih menarik, pelajar juga boleh membuat pembentangan sendiri dalam suasana lebih selesa dan kondusif," katanya.

Mengulas lanjut, Yuslan berkata, Smart Classroom itu turut membuka peluang murid lebih dekat dengan teknologi dan membantu mereka lebih kreatif.

"Sebagai contoh, dalam subjek RBT pelajar diminta membuat kereta kawalan jauh. Selain memberi penerangan, saya juga menunjukkan beberapa contoh model dua demensi (2D) dan tiga demensi (3D) di Youtube.

"Dari situ, mereka dapat ilham untuk melakar idea dan menghasilkan kereta kawalan jauh mereka sendiri yang sangat cantik kerana contoh ada depan mata.

"Silibus sekarang ini juga sangat kehadapan terutama dalam RBT. Jadi, apabila kita guna fasiliti yang lebih maju, ia sesuai dengan zaman sekarang," katanya.

Pencapaian murid juga sangat memberangsangkan apabila penyertaan berkaitan reka cipta ketika pameran sains yang dianjurkan sekolah baru-baru ini meningkat.

Kata Yuslan, sukatan pelajaran sudah ke hadapan, tapi keperluan pembelajaran tidak mencukupi terutama membabitkan teknologi terkini seperti smart TV, komputer dan sebagainya.

"Walaupun inisiatif Smart Classroom ini adalah satu kejayaan bagi sekolah kami, tetapi kami berharap ia boleh menjadi sumber inspirasi kepada cikgu lain.

"Diharap juga syarikat korporat dapat menjalinkan kerjasama baik dengan pihak sekolah terutama dalam perkara seperti ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 6:30 AM