FEEYA tonjol bakat lakonan.
FEEYA tonjol bakat lakonan.
Syafil Syazwan Jefri

MEMULAKAN langkah menerusi program pencarian bakat lakonan, Anak Wayang menjadi batu loncatan buat penyampai radio, Feeya Iskandar atau lebih mesra dengan panggilan Cik Piah menempa nama dalam industri seni tanah air.

Siapa sangka, walaupun laluannya dalam dunia lakonan kurang mendapat perhatian, dia berjaya mencipta nama dalam bidang penyampaian radio dan pengacaraan.

Namun, tahun ini menyaksikan nama bintang berusia 35 tahun ini menjadi sebutan selepas menjadi teraju utama dalam Drama Raya Suria 2024 berjudul Suami Raya.

Berkesempatan bertemu Cik Piah, dia berkongsi pengalaman mencungkil semula bakat lakonan yang lama terpendam.

"Ketika mereka tawarkan watak utama, saya macam terkejut dan ingatkan mereka main-main. Rupanya memang betul. Apa yang anda tonton adalah komitmen yang saya berikan sepenuhnya ketika penggambaran dan permudahkan juga urusan semua ketika penggambaran.

"Saya dah berikan yang sehabis baik untuk drama ini dan semoga lakonan saya mana yang kurang, saya minta maaf sebab saya bukan pelakon," katanya.

Menurut Cik Piah, lakonan bukan satu tugasan mudah walaupun dia sudah punya asas dalam bidang itu.

"Walaupun saya bermula daripada program Anak Wayang, bagi saya bukan senang untuk berlakon dan jayakan watak itu. Apabila orang menonton, orang dapat rasa watak itu.

"Saya teringat semula pengalaman ketika saya masih bujang, saat mengenali beberapa jejaka. Jadi, apabila dimaklumkan bahawa jalan ceritanya adalah romantik komedi, saya fikir banyak babak ketawa sahaja.

"Rupanya ada babak memerlukan saya menangis. Ketika penggambaran pula, anak saya sedang berada di hospital sebab tak sihat. Saya fikir, apa saya nak buat sebab saya suka ketawa.

"Kebetulan anak sakit. Jadi, saya bayangkan anak saya sedang sakit dan menjadi babak air mata itu dengan sekali 'jalan' sahaja.

"Tak mudah menjayakan babak itu. Tapi, apabila kita membayangkan perkara yang sedih, jadi ia akan mudah untuk keluar air mata," katanya.

Bukan kali pertama berlakon, Cik Piah juga mengakui lakonannya dalam Drama Raya Suria pada tahun-tahun sebelum ini kurang meninggalkan impak.

"Sebelum ini saya pernah berlakon dalam drama Aidilfitri juga, tapi watak itu kurang menyerlah dan tak memberi impak. Kali ini, ada perubahan perwatakan dari gembira, sedih, gedik dan sebagainya," katanya.

Berkongsi pengalamannya berlakon bersama rakan seperjuangan, Sharifah Shahirah atau Kak Rara dan pelawak 'otai', Azlee Senario, Cik Piah menggambarkan proses itu sebagai sesuatu yang mudah.

"Kak Rara sendiri pun rapat dengan saya dan di luar pun saya anggap dia macam kakak. Jadi, sebab itu nampak semula jadi dan bersahaja lakonan kami.

"Walaupun saya tak kenal rapat Abang Azlee, saya sama-sama berbincang dengan dia dan dia boleh terima walaupun dia senior. Jadi, dia terbuka untuk teguran dan penambahan. Dari situ, wujud keserasian antara kami," katanya.

Tidak terhenti di situ, pintu peluang juga dibuka selebar-lebarnya buat Cik Piah apabila dia turut ditawarkan menjadi penyanyi lagu OST drama Suami Raya itu.

"Lagu OST itu saya perlu menyanyi seorang diri dan satu pengalaman menarik. Sejujurnya saya sendiri sukakan lagu itu kerana rancak. Ketika rakaman pun, saya rasa sesuai dengan jalan cerita drama itu. Kebetulan saya pun suka menyanyi.

"Bila dapat peluang dan diberikan kepercayaan, kita sahut cabaran itu dan tonjolkan bakat itu. Empat belas tahun saya dalam industri, jadi saya harap mereka di luar sana dapat menilai bakat saya," katanya.

Ditanya sama ada dia meneruskan minat dalam lakonan selepas itu, Cik Piah berkata, semuanya berlaku berdasarkan perbincangannya dengan suami.

"Kalau nak berlakon selepas ini, saya kena berbincang dengan suami dahulu. Suami tahu apa yang saya lakukan hanya dalam lakonan sahaja. Yang pasti, saya tahu batasan saya sebagai isteri orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 6:00 AM