AZLEE kini aktif dengan perniagaan sebagai ‘back-up’ ketika penularan Covid-19 kini.
AZLEE kini aktif dengan perniagaan sebagai ‘back-up’ ketika penularan Covid-19 kini.
Norhayati Nordin


WALAUPUN baharu setahun 'kemunculan semula' pelakon Azlee Khairi, 31, dalam industri hiburan tanah air, namun nama serta bakatnya ketika ini semakin kukuh.

Ia berikutan dua drama lakonannya iaitu Hari Kita Jatuh Cinta di Awesome TV dan Rahimah Tanpa Rahim yang kini mengisi slot Akasia di TV3, jam 7 malam cukup menjadi perhatian penonton.

Malah, dua drama berkenaan turut 'trending' di media sosial apabila menjadi perhatian warganet untuk dibahaskan.

Bagi Azlee, ia satu permulaan yang baik untuk kerjaya lakonannya pada 2021 ini.

Mengulasnya, Azlee atau nama sebenarnya Azlee Khairi Zulah Hainee berkata, semua ini adalah rezeki yang dikurniakan kepadanya.

Katanya, dia sentiasa yakin bahawa setiap rezeki diturunkan Allah itu takkan pernah tersalah alamat.

"Sebagai penerima (rezeki), saya bersyukur. Sejujurnya, saya tidak pernah menyangka kerjaya lakonan yang baharu diceburi semula ini mampu mengorak langkah sejauh sekarang dengan pantas.

"Alhamdulillah, peluang untuk saya memahat nama dan bakat juga dipermudahkan dan lancar. Saya sebenarnya sangat berterima kasih kepada penerbit drama, Jalena Rejab yang banyak membantu selama ini," katanya.

Menurut Azlee, Jalena yang juga pengurus kerjayanya akan terlebih dahulu menapis setiap tawaran projek lakonan diterima bagi memastikan setiap watak diperoleh itu sesuai dan mampu dilakonkan dengan baik.

Berbicara mengenai drama Rahimah Tanpa Rahim, pemuda dari Perak ini berkata, dia teruja melakonkan watak Jauhar kerana mendekatkannya dengan permasalahan golongan remaja. Malah, sedikit sebanyak mendalami perasaan mereka.

"Namun, apa yang membuatkan saya suka dengan drama ini kerana jalan ceritanya diangkat daripada kisah benar wanita yang mengalami sindrom Mayer Rokitansky Kuster Hauser (MRKH) atau tidak memiliki rahim.

"Sebenarnya saya tidak tahu apa itu MRKH pada awalnya. Tak sangka juga ada golongan wanita menghadapi masalah tidak mempunyai rahim sejak lahir. Jadi, ia ilmu baharu buat saya untuk lebih memahami.

"Selain itu, kali pertama berlakon dengan Puteri Aishah dalam drama ini membuatkan saya terfikir bolehkah kami

serasi? Ini kerana, saya bimbang tak mampu memberikan lakonan terbaik.

"Saya melihat karya Rahimah Tanpa Rahim ini sangat bagus kerana bukan adaptasi novel. Jalan ceritanya asli dan skrip pun mantap membuat saya harus betul-betul faham dengan watak Jauhar itu. Saya tak boleh ambil mudah," katanya.

Melihat kepada penerimaan baik penonton yang semakin faham dengan kisah diketengahkan drama ini, Azlee berkata, judulnya mungkin nampak macam 'sesuatu', tapi kena tonton dahulu kerana mesej dimuatkan sangat menyeluruh.

Menurut Azlee, setakat ini dia sangat berpuas hati dengan tawaran drama yang dibintanginya. Malah, katanya dia juga selesa fokus pada berlakon drama dahulu dan tidak terkejar-kejar menagih tawaran beraksi untuk filem.

Selain Azlee dan Puteri Aishah, Rahimah Tanpa Rahim terbitan Country Universal Sd

n Bhd sebanyak 28 episod itu turut dibintangi Ezzaty Abdullah dan Hafidz Roshdi serta diarahkan Eoon Shuhaimi.

AZLEE teruja lakonkan watak Jauhar dalam drama Rahimah Tanpa Rahim.
AZLEE teruja lakonkan watak Jauhar dalam drama Rahimah Tanpa Rahim.

Tak fikir 'standard'

Biarpun kebanyakan drama lakonannya adalah watak utama, Azlee berkata, dia masih lagi sedia untuk membawakan watak pembantu, 'cameo' mahupun sebagai antagonis.

Katanya, asal watak berkenaan sesuai dan ada impak tersendiri pada lakonan dipersembahkan, dia tidak memilih.

Menurut Azlee, sejak dulu dia tidak pernah bimbang mengenai 'jatuh standard' jika berlakon watak selain hero.

"Dalam kerjaya lakonan ini, saya pernah berada di atas dan kemudian jatuh yang terduduk terus. Tidak setakat itu, saya turut menghilang pula dari radar industri selama lima tahun, jadi siapa saya untuk terlalu memilih.

"Apabila melihat lakonan diterima baik dalam kalangan penonton serta peminat, saya sangat terharu. Ini kerana saya masih diberi peluang dan mereka semua menerima baik kedatangan semula ini. Jadi, perlukah saya mendabik dada?" katanya.

Azlee yang kini aktif dengan perniagaan produk Aura Kasih diusahakan gembira mendapat sokongan padu daripada kelab peminatnya.

Kata pelakon drama Seadanya Aku ini, ramai peminatnya yang menjadi ejen dan stokis.

Katanya, disebabkan penularan Covid-19 ketika ini dia harus ada perniagaan sebagai 'back up'.

Menurut Azlee, apabila menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti sekarang, masanya di rumah difokuskan pada urusan perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 7:00 AM