MARDIANA
MARDIANA
Norhayati Nordin


Meskipun sudah lebih 10 tahun penggiat teater dan pelakon Mardiana Alwi, 29, membabitkan diri dalam industri seni tempatan, namun baru kini kerjayanya menampakkan sinar.

Segalanya bermula apabila dia diberikan peluang membintangi drama Akadku Yang Terakhir dan Isteri Tuan Ihsan di Astro.

Kedua-dua drama yang diadaptasi daripada novel itu sangat membantu nama dan bakat lakonannya dikenali masyarakat.

“Selama 10 tahun aktif berlakon, sudah banyak drama saya bintangi. Cuma, rezeki untuk dikenali agak lambat.

“Saya sedar mungkin kurang pendedahan cerita di media dan tiada kisah sensasi membuatkan nama saya kurang jadi perhatian.

“Apatah lagi, kemunculan bakat baru dalam lakonan semakin ramai dan bersilih ganti. Maka, nama saya agak tercicir,” katanya.

Sentiasa yakin pada rezeki, Mardiana berkata biarpun namanya belum tergolong dalam kelompok pelakon ‘popular’, dia tidak pernah berasa kecil hati, apatah lagi mahu berputus asa.

“Sebenarnya, setiap orang ada pilihan dalam hidup mereka. Begitu juga dengan saya yang sebenarnya lebih selesa untuk bersederhana dalam apa juga perkara termasuklah membabitkan soal populariti.

“Bagi saya, biarlah bakat yang membawa saya dikenali masyarakat berbanding menjadi perhatian gara-gara gosip atau cerita sensasi.

“Saya juga yakin mampu popular dengan bakat lakonan dipersembahkan, tetapi semuanya bergantung pada rezeki dan ketentuan masa,” katanya.

Sangat menitikberatkan menjaga nama keluarga sepanjang terbabit dengan dunia lakonan, Mardiana berkata kini selepas berkahwin dia aktif berlakon bukan untuk mengejar populariti.

“Biarpun saya tahu populariti itu penting kepada seseorang selebriti, tetapi kalau ada rezeki saya percaya tidak ke mana.

“Cuma, sekarang ini saya berlakon kerana minat dan setiap watak diterima haruslah dilakonkan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Akur bakat lakonannya masih belum tercabar dengan watak diterima setakat ini, Mardiana berkata apapun dia bersyukur.

Sudah mendirikan rumah tangga pada November tahun lalu, Mardiana memberitahu suaminya, Abdul Aziz Rahamat, 35, sangat memahami minatnya dalam lakonan.

“Alhamdulillah, suami masih memberi izin saya berlakon asalkan saya tahu menjaga batas sebagai isteri dan wanita berhijab.

“Bahkan, untuk itu saya juga memastikan tidak terbabit dengan sebarang babak bersentuhan dan selalu berbincang dengan pengarah,” katanya.

Kalau dahulu, Mardiana kalis cerita sensasi kerana sering ditemani ibu ke lokasi penggambaran, kini dia bergerak sendiri.

“Ibu memang sudah jarang menemani saya ke lokasi. Mungkin juga kerana ibu yakin saya mampu menjaga diri sendiri dengan baik.

“Lagipun ibu menemani kerana saya belum berkahwin dan tidak matang. Jadi, perlulah ibu sebagai peneman kerana tidak mahu saya tersilap langkah.

“Apapun, saya sangat gembira ibu sentiasa di sisi menemankan saya ke lokasi penggambaran. Sedikit pun saya tidak berasa dikongkong,” katanya.

Meraikan Aidilfitri di Johor dan ibu kota, Mardiana baru-baru ini membintangi drama radio Sesuci Tautan Ramadan di IKIMfm bersama Asyraf Muslim dan Diana Amir.

Selain itu, sempena sambutan Syawal juga Mardiana tampil dengan telefilem istimewa Aidilfitri, Isteri Tuan Ihsan Raya di Astro.

Melakonkan watak setiausaha Tuan Ihsan, Ratna dalam telefilem itu, pelakon lain yang turut membintangi ialah Aaron Aziz, Amyra Rosli dan Gambit Saifullah.

Masih belum dikurniakan cahaya mata, Mardiana berkata anak, rezeki dan jodoh adalah ketentuan Yang Maha Esa.

Katanya, dia dan suami hanya mampu berdoa dan selebihnya menyerahkan kepada takdir. Jadi, ujarnya, kenalah sabar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 9:40 AM