ARTIS, Dayang Areeda. FOTO Mahzir Mat Isa
ARTIS, Dayang Areeda. FOTO Mahzir Mat Isa
Norhayati Nordin


WALAUPUN masih bertatih untuk memantapkan nama dan bakatnya dalam karier lakonan, ternyata Dayang Areeda tidak mampu terlepas daripada gosip.

Untuk tahun ini saja, gadis manis berusia 24 tahun ini harus akur berhadapan beberapa gosip sensasi yang menimpa dirinya tanpa diingini.

Dikaitkan berkahwin dengan suami orang dan menjadi punca rumah tangga wanita lain musnah, ternyata ia satu tuduhan berat buat Dayang.

Pemilik nama sebenar Dayang Areeda Datu Abdul Razak ini berkata, dia tidak menduga akan terjebak dengan gosip sebegitu.

Ia sesuatu yang mengejutkan. Saya memang tidak tahu bagaimana cerita sebegitu boleh timbul. Saya ada ibu bapa yang nama dan maruah mereka perlu dijaga. Jadi, gosip berkahwin itu memang tidak sepatutnya diperkatakan,” katanya.

Menurut Dayang, sebagai pelakon baru dia lebih selesa mengambil langkah wajar iaitu berhati-hati setiap masa.

Bagaimanapun, di sebalik sikap hati -hati itu, Dayang masih tidak mampu mengelak sepenuhnya daripada gosip sensasi.

Pelakon watak jahat drama Kekasih Paksa Rela di TV3 itu terkait pula dengan gosip mendakwa dia adalah ‘individu ketiga’ cuba memburukkan nama pelakon Fatin Afeefa.

Sekali lagi, Dayang sesak nafas dengan gosip yang tersebar secara tiba-tiba itu kerana dia dan Fatin bersahabat baik.

“Terkejut lagi saya dibuatnya dengan kemunculan gosip itu. Saya tidak menduga ia berhubung kait dengan nama Fatin pula. Entah, tak tahu nak cakap apa dan inilah lumrah kehidupan seorang selebriti. Jika diikutkan, saya belum begitu popular,” katanya.

Ditanya adakah gosip itu mendatangkan masalah pada persahabatannya dengan Fatin, gadis tinggi lampai ini tegas menafikannya.

“Setakat ini, hubungan persahabatan saya dengan Fatin masih baik dan tidak bermasalah. Syukur kami masih okey dan tetap berkawan,” katanya.

Mengakui dia tahu mengenai gosip itu, pelakon drama Cik Sempurna bersama Zoey Rahman ini selesa bersikap tenang.

“Apapun, lebih baik tenang saja. Ini kerana, yang pasti persahabatan kami okey dan tidak terjejas pun. Malah, sampai sekarang masih berkawan seperti biasa. Jadi, saya menyangkal dakwaan yang mengatakan hubungan persahabatan kami bermasalah kerana ia tidak benar.

“Cuma, sekarang saya dan Fatin sibuk dengan aktiviti karier masing-masing. Namun, apabila bertemu kami akan bersembang,” katanya.

Menurut Dayang yang baru tiga tahun aktif berlakon, dia juga seorang yang tak ambil peduli dengan apa saja yang diperkatakan pihak lain.

Katanya, perkara tidak betul jangan terlalu difikirkan. Ini kerana Dayang enggan fokusnya terhadap karier lakonan terganggu.

“Selepas timbul gosip entah apa-apa mengenai saya dan Fatin, rasanya membiarkan saja adalah tindakan paling baik dilakukan. Apa yang pasti, biarlah situasi sebenar hanya kami yang tahu. Begitu juga keluarga saya yang banyak memberi semangat.

“Saya tidak mampu untuk menutup mulut orang. Jadi, tindakan tidak melayan adalah wajar untuk saya sentiasa tenang dan menjadi orang yang positif,” katanya.

Dayang berkata, tujuan utama dia menceburi bidang seni kerana minat dan bukan mahu mengejar populariti untuk dikenali melalui cerita gosip semata-mata.

Tak pilih watak

SEDAR masih banyak ilmu lakonan harus ditimba, Dayang berkata, buat masa sekarang dia selesa menerima apa saja tawaran watak.

Sama ada watak pembantu atau utama, dia tidak akan memilih.

Katanya, walaupun itu watak sama yang sudah pernah dilakonkannya beberapa kali, dia tidak kisah.

“Sebagai pelakon, saya tahu apa saja watak diberi itu satu cabaran. Jadi, menjadi tanggungjawab saya supaya kreatif mempelbagaikannya.

“Apatah lagi, siapa saya yang masih baru ini untuk bersikap terlalu memilih. Masih banyak kelemahan dalam lakonan harus diperbaiki,” katanya.

Berbicara mengenai drama terbaru lakonannya, Dayang berkata, dia kini tampil berlakon dalam dua drama adaptasi novel di Hypp TV.

“Dua drama yang saya bintangi itu ialah Isteri Dalam Sangkar sebagai pembantu untuk watak Rose dan satu lagi, drama Opsss Terpikat Cik Sombong.

“Menariknya, untuk drama Opsss Terpikat Cik Sombong itu, saya berlakon watak utama sebagai Ira Harisya bergandingan dengan Shukri Yahaya. Satu cabaran besar buat saya apabila harus melakonkan watak gadis anak orang kaya yang sombong dan memandang rendah pada golongan miskin.

“Tak dinafikan, watak Ira Harisya itu memberi ruang kepada penonton mengecam saya kerana memang sakit hati melihatnya. Kesombongan yang terlampau disebabkan ego tinggi dan berlagak kerana anak orang kaya yang hidup dalam serba kemewahan,” katanya.

Mengulas gandingan dengan Shukri, pastinya Dayang mengakui pelakon berkaliber itu banyak membantunya dalam lakonan.

Katanya, dia bersama Shukri suka berbincang. Malah, setakat ini kerjasama mereka berjalan lancar kerana saling membantu.

Selain mereka, Opsss Terpikat Cik Sombong turut membariskan pelakon seperti Nafiez Zaidi, Ariff Aziz, Nelissa Edreena, Liza Abdullah, Razak Ahmad dan Shakilla Khoriri.

Antara drama pernah dibintangi Dayang Areeda seperti Pembancuh Kopi Mr Vampire, Si Kolot Suamiku, Sha & Shah, Semusim Rindu dan Cekelat Semanis Honey.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 6:00 AM