Feeya Iskandar.
Feeya Iskandar.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyampai radio, Feeya Iskandar atau Cik Piah berkongsi rasa pilu atas pemergian ibu mentuanya, Allahyarham Asnah Mohd Amin yang menghembuskan nafas terakhirnya pada Subuh kelmarin.

Cik Piah berkata, dia dan suaminya reda akan pemergian ibu mentua yang dianggap seperti ibunya sendiri itu.

"Arwah memang dah tak sihat. Dua tiga hari sebelumnya, dia dah nampak makin lemah. Kami fikir, dia mungkin sakit tua, tapi tak sangka dia pergi secepat itu.

"Bila tengok keadaannya, kami rasa, mungkin dia boleh dibawa ke hospital, dirawat dan makan ubat kemudian akan kembali okay. Tapi, tak sangka semalam itu, Allah ambil nyawanya.

"Kami semua reda sebab daripada terus tengok dia sakit, terus seksa dia. Seluruh ahli keluarga reda dengan pemergiannya dan apa pun, kita yang hidup kena teruskan kehidupan macam biasa," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Cik Piah, Asnah yang meninggal dunia pada usia 73 tahun menetap bersama anaknya yang juga kakak ipar Cik Piah dan menghembuskan nafas terakhirnya di sisi keluarga.

"Malam terakhir, kami sempat berkumpul ramai-ramai. Dia memang suka tengok anak cucu semua berkumpul. Betul-betul waktu azan Subuh, dia menghembuskan nafas terakhirnya," katanya.

Walaupun masih dalam keadaan berduka, Cik Piah tetap meneruskan komitmennya sebagai penyampai di stesen radio Suria FM dan hadir ke pelancaran Drama Raya Suria 2024 berjudul Suami Raya.

Selain menjadi teraju utama dalam drama itu, Cik Piah juga turut menyanyikan lagu OST untuk drama itu berjudul Nak Suami Raya dan terbabit dalam Lagu Raya Suria 2024 berjudul Lebaran Menjelma bersama penyampai-penyampai lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 3:23 PM