ROSMAN bersama pingat yang dimenangninya di Sukan Sea Bangkok, Thailand pada 1985.
ROSMAN bersama pingat yang dimenangninya di Sukan Sea Bangkok, Thailand pada 1985.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Keadaan sudah banyak berubah, namun kenangan sebagai seorang pelumba basikal yang mengerah keringat demi negara kekal sebagai memori manis untuk dikenang.

Itu antara perkara tidak dapat dilupakan legenda berbasikal trek negara, Rosman Alwi yang juga anak kepada jurulatih basikal kebangsaan, Allahyarham Alwi Ahmad.

Biarpun ketika ini dia tidak lagi membabitkan diri dengan dunia berbasikal kerana komitmen menjaga ibu yang menghidap kanser pundi kencing tahap empat, Rosman berkata, hubungan bersama rakan atlet tetap kekal erat terjalin hingga kini terutama dalam kalangan anak didiknya dan rakan atlet yang lain.

Mengimbau kenangan di bulan Ramadan, bekas pelumba yang pernah beraksi di temasya Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 1984 itu berkata, dia pernah berpuasa di perantauan seorang diri di Jerman.

"Saya dihantar oleh MSN (Majlis Sukan Negara) ke Jerman pada 1982 dan 1983 untuk persiapan Olimpik LA. Sebulan di Jerman termasuk kena puasa dan raya di sana.

"Bila kita berseorangan di negara asing mesti akan rasa sayu hati itu. Rasa sunyi. Sebab kita seorang, kan," katanya.

Namun, Rosman berkata, kenangan berpuasa dan beraya itu bukanlah sesuatu yang pahit, tapi ia amat manis untuk dikenang.

Katanya, antara yang tidak boleh dilupakannya adalah ketika dia bergelar jurulatih dan berkampung di Australia bersama-sama pelumba elit seperti Rizal Tisin, Fairoz Izni, Junaidi Nasir dan beberapa pelumba lain.

"Saya adalah kelompok pertama yang dihantar ke Australia sebelum John Beasley menjadi jurulatih. Bila kita ada ramai, suasananya lain sikit berbanding seorang diri.

"Memang saya teringat sangatlah ketika di Australia. Ketika itu masa raya. Kami wujudkan suasana raya itu, saling membantu dan saya masak rendang. Ada yang buat ketupat, nasi kuning dan lain-lain.

"Malam kami bertakbir. Pagi hari raya, kami jemput jiran 'mat salih' untuk datang ke rumah. Mereka memang seronoklah sebab suasana lain," katanya.

Rosman yang menerima jolokan The Turtle Head berkata, bila dikenang semua itu, terutama kenangan ketika bergelar atlet memang banyak nostalgianya.

Rosman mengakui gembira menempuh pengalaman itu biarpun banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan dengan meninggalkan keluarga.

Menurutnya, ketika usia menganjak 62 tahun, menjadi tugasnya untuk menjaga ibunya yang sakit.

Katanya, selepas kehilangan empat adik-beradiknya yang sudah dijemput Ilahi, masanya kini banyak dihabiskan bersama ibunya.

"Tahun ini puasa dan raya biasa saja. Tak banyak buat persiapan raya, sederhana saja. Tak fikir sangat untuk diri sendiri.

"Saya fikir untuk anak dan ibu. Saya sekarang pun dan tak ada adik-beradik yang lain. Tinggal saya seorang saja. Itu sebab bila raya tak fikir sangat.

"Lebihkan untuk jaga orang tua saya. Mak saya pun sudah berusia 80 tahun," katanya.

Nama Rosman selaku jaguh pecut negara cukup gah di pentas berbasikal antarabangsa satu ketika dulu.

Dia pernah terpalit dengan kontroversi apabila berdepan skandal dadah berikutan gagal ujian saringan air kencing pada Sukan Sea 1981 di Manila yang menyebabkan dia dikenakan hukuman penggantungan dua tahun.

Dia kembali ke pentas antarabangsa dengan meraih gangsa pada Kejohanan Berbasikal Asia di Bangkok pada 1983.

Kemuncak karier Rosman adalah pada 1985 dan 1987 apabila meraih dua emas serta dua rekod Sukan Sea, sekali gus menebus kekecewaan pada 1981.

Pada usia 40 tahun, Rosman bertanding pada Sukan Sea terakhirnya di Kuala Lumpur 2001 sebelum mengumumkan persaraan daripada sukan yang begitu dicintainya, setahun kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 6:59 AM