ROSMAN Alwi. FOTO AIDA ADILAH MAT
ROSMAN Alwi. FOTO AIDA ADILAH MAT
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Bekas Olimpian dalam sukan berbasikal, Rosman Alwi berharap semua atlet yang akan bertanding di temasya Olimpik Paris Ogos ini menanamkan semangat 'Demi Malaysia' di dalam sanubari masing-masing.

Rosman yang pernah beraksi di temasya Olimpik Los Angeles 1984 itu berharap kesemua atlet negara yang terpilih itu nanti akan memberikan yang terbaik.

Tidak kira dalam sukan apa sekalipun, katanya jangan memikirkan perkara lain selain fikirkan berjuang demi negara.

"Yang penting fikir pasal Malaysia. Jangan fikir pasal benda lain. Jika Azizul (Datuk Azizulhasni Awang) boleh dapatkan emas, lakukanlah. Begitu juga atlet lain.

"Buat yang terbaik dan lakukan untuknya. Kita adalah ahli sukan dan ahli sukan ini adalah pejuang," katanya yang pernah meraih emas di Sukan Sea 1985 dan 1997.

Beraksi dalam acara 1 kilometer ujian masa dan pecut individu, Rosman turut pernah bergelar jurulatih skuad kebangsaan.

Dia turut pernah melatih beberapa pelumba terbaik negara seperti Rizal Tisin, Fairoz Izni, Junaidi Nasir dan beberapa lagi atlet terkemuka negara.

Ketika ini Azizul masih menjadi taruhan terbaik kontinjen negara untuk menuai emas pertama Malaysia.

Berdasarkan prestasi terkininya, Azizul masih mempunyai peluang cerah selepas membuktikan keunggulannya meraih emas dalam acara keirin Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang berlangsung di Adelaide, Australia awal bulan ini.

Kejayaan Azizulhasni yang juga juara dunia 2017 itu mengukuhkan lagi kedudukan untuk mengumpul mata melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 1:33 PM