Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: ”Dia tak nak, nak buat macam mana, kita hormati keputusannya,” itu kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi berhubung keengganan bekas pelumba negara, Rosman Alwi memohon menjadi jurulatih skuad kebangsaan.

Sebelum ini Shapawi memaklumkan bahawa MSN bersedia menimbang permohonannya seandainya dia berminat untuk menjawat jawatan itu.

Katanya, MSN sentiasa mengamalkan dasar terbuka dan bersedia membuka pintu kepada siapa saja termasuk bekas juara Asia berkhidmat bersama MSN.

Namun kesediaan MSN ditolak Rosman yang kecewa dengan tindakan badan induk itu menolak permohonannya tanpa alasan kukuh.

“Semuanya terpulang kepada Rosman. Kalau dia tak nak, kita tiada hak untuk memaksa dan memang sentiasa menjadi amalan di MSN, kami sentiasa berbincang dan bersedia untuk apa juga perkara.

“Malah sebelum keputusan dibuat, kita meminta pandangan PKBM dan persatuan negeri. Ia bukan keputusan sebelah pihak,” kata Shapawi.

Shapawi berkata, memang menjadi misi dan harapannya untuk membawa seberapa ramai bekas pelumba tempatan sebagai jurulatih dan menggantikan tugas jurulatih luar.

Rosman meluahkan rasa kecewanya kerana empat kali permohonannya di tolak biarpun sudah membuktikan kewibawaannya sebagai jurulatih apabila berjaya membawa skuad berbasikal Kedah meraih dua emas, dua perak dan satu gangsa pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2014 hanya dalam tempoh enam bulan.

 Rosman berkata, hatinya sudah tertutup selepas tindakannya memohon jawatan itu seperti seorang pengemis hanya kerana ingin menabur bakti kepada negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:17 AM