HARRIF ketika memenangi perlumbaan Grand Prix di Turki. Foto Instagram harrif_saleh
HARRIF ketika memenangi perlumbaan Grand Prix di Turki. Foto Instagram harrif_saleh
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Tahun 2021 banyak meninggalkan kenangan pahit dan manis kepada setiap orang begitu juga pelumba berbasikal profesional negara, Mohd Harrif Saleh.

Baginya, tahun lalu bermula dengan baik dan memberangsang apabila dia menjuarai perlumbaan Grand Prix Manavgat di Turki, acara perlumbaan sehari yang bertaraf Jelajah Eropah dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada hujung Februari.

"Manis kerana saya memenangi kejohanan Grand Prix di Turki... saya menjadi pelumba pertama Asia Tenggara memenangi perlumbaan dalam Jelajah Eropah," tulis pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) berusia 33 tahun itu dalam perkongsian di laman Instagram.

Kemudian beberapa peristiwa pahit berlaku dalam kehidupannya apabila dia disahkan positif Covid-19 sekali gus menyebabkannya terlepas peluang untuk bertanding pada perlumbaan Tour of Thailand bulan lalu.

"Kenangan pahit pula saya sendiri disahkan positif Covid-19 sebelum perlumbaan Tour of Thailand memaksa saya menarik diri pada saat-saat akhir. Susulan Covid-19 saya masih tidak berada dalam kondisi terbaik," katanya.

Bagaimanapun, Harrif, yang pernah menang tiga peringkat perlumbaan Le Tour de Langkawi berkata, dia tetap memberikan persembahan 100 peratus pada Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan di Melaka minggu lalu sekalipun akhirnya terpaksa akur di tangga ketujuh keseluruhan.

"Walaupun latihan tak berapa mencukupi sebelum Kejohanan Kebangsaan, saya tetap bagi 100 peratus dalam perlumbaan itu dan juga berjaya melakukan 'breakaway'.

Pasukan saya banyak membantu tapi persembahan saya tidak bagus dalam 200 meter menuju ke garisan penamat dan kedua-dua paha saya mengalami kekejangan," tulisnya.

"Tapi saya amat berpuas hati dengan perlumbaan itu kerana saya berjaya melakukan 'breakway' serta menghabiskan perlumbaan yang sukar kerana laluannya sentiasa beralun dan berbukit. Jadi oklah kita tutup buku lama, kita buka buku baharu Insya-Allah."

KEDAI servis basikal Harrif di Gong Kapas, Kuala Terengganu. Foto Instagram harrif_saleh
KEDAI servis basikal Harrif di Gong Kapas, Kuala Terengganu. Foto Instagram harrif_saleh

Dari segi positif, Harrif juga berjaya memenuhi impiannya untuk mempunyai kedai basikal sendiri diberi nama Harrif Saleh Bike Service terletak di Jalan Panji Alam, Gong Kapas, Kuala Terengganu yang beroperasi sejak November lalu.

Perniagaannya dilihat semakin berkembang dan maju dan ramai peminat tidak kira dari Terengganu atau Semenanjung malah ada yang datang dari Sabah dan Sarawak berkunjung mendapatkan servis serta khidmat nasihat dan panduan ilmu berbasikal daripada pelumba itu sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 6:59 PM