FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hafiz Ithnin

Isu diskriminasi terhadap orang kurang upaya (OKU) yang diketengahkan Metro Ahad sejak minggu lalu mengundang pelbagai reaksi di negara ini. Soal peluang, kemudahan serta kesediaan semua pihak untuk memberi hak kepada OKU mendapatkan pekerjaan dalam pelbagai sektor turut dibincang secara terbuka di media sosial.

Kafe Ahad minggu ini mendapatkan pandangan Menteri Sumber Manusia, STEVEN SIM CHEE KEONG mengenai data terkini, kemudahan serta hala tuju yang ditetapkan kementerian berkenaan khusus bagi menyelesaikan masalah itu seperti yang dikongsikan kepada wartawan HAFIZ ITHNIN.

Bagaimana Yang Berhormat (YB) melihat isu diskriminasi pekerjaan dalam kalangan OKU di Malaysia?

Di Malaysia seramai 691,630 OKU berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga 31 Januari 2024. Dari jumlah tersebut seramai 117,092 OKU adalah terdiri dari mereka yang berumur 19 hingga 45 tahun. Lingkungan umur ini boleh dikatakan mereka masih mempunyai keupayaan untuk bekerja dengan baik, dari sudut fizikal, mental atau dengan menggunakan keupayaan yang sedia ada.

Saya melihat diskriminasi ke atas OKU adalah disebabkan ketidakupayaan masyarakat memahami limitasi mereka termasuk kesedaran bagi menggaji pekerja daripada golongan OKU ini. Kerajaan Madani sentiasa memberi perhatian kepada golongan istimewa ini supaya mereka ini tidak tertinggal. Untuk mencapai matlamat ini kerajaan bersama-sama berganding bahu melalui Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya yang dinyatakan di bawah seksyen 3(1), Akta Orang Kurang Upaya 2008, yang mana satu usaha kolektif dibuat oleh Majlis dengan menggunakan pendekatan  multi-sectoral  dan  multi-collaboration  dengan agensi berkaitan yang lain. Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) sentiasa memberi keutamaan bagi membolehkan golongan OKU ini mampu berdikari, meningkatkan kemahiran, menambah peluang pekerjaan dan seterusnya bersama-sama menyumbang kepada produktiviti negara. Ini selari dengan misi strategik Kesuma iaitu kebajikan, kemahiran dan keberhasilan.

   

Sejak dasar 1 peratus diperkenalkan untuk OKU berkhidmat di dalam sektor awam pada 1988, Kesuma juga masih belum dapat mencapai sasaran ini. Boleh komen?

Seperti yang kita sedia maklum, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 16 Tahun 2010 yang menjelaskan dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada orang kurang upaya dan langkah affirmative yang perlu diambil oleh suruhanjaya, kementerian serta agensi di bawah kementerian bagi mempercepat pencapaian dasar itu.

Dasar ini dilaksanakan selaras usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi keupayaan modal insan di kalangan rakyat Malaysia, khususnya bagi OKU dan merealisasikan hasrat menjadikan rakyat Malaysia sebagai masyarakat penyayang. Melalui dasar ini, OKU yang memiliki kelayakan akademik, kemahiran dan keupayaan yang sesuai dengan bidang tugas suatu jawatan akan dipertimbangkan peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam.

Saya berpandangan pelaksanaan dasar ini perlu dijadikan sebagai penunjuk prestasi (KPI) bagi semua kementerian dan serta agensi di bawah kementerian yang mana perlu berusaha untuk mencapai KPI ini. Kesuma akan mengambil tanggungjawab dan memandang serius terhadap dasar ini. Oleh itu, saya menggesa agar kesemua pihak dari sektor awam dan swasta perlu memberi peluang kepada golongan OKU dengan melihat kemahiran dan keberhasilan mereka berbanding limitasi mereka. Saya mengambil contoh yang berlaku di Kesuma, saudara Fikri yang bekerja sebagai staff di ruang pendaftaran di tingkat bawah bangunan Kesuma. Hampir tiga bulan di Kesuma ini, saya telah memantau tahap dan kemampuan beliau bertugas dan saya begitu terharu apabila diberitahu bahawa beliau telah menjalankan tugas dengan begitu berdedikasi dan mampu bekerja seperti manusia biasa walaupun beliau adalah dari golongan OKU.

Justeru itu, Kesuma akan membantu mengenal pasti dan menggalakkan majikan untuk mewujudkan jawatan yang sesuai mengikut jenis ketidakupayaan dan memberi peluang dan ruang yang lebih luas kepada golongan ini untuk penempatan pekerjaan. Setiap kementerian haruslah memainkan peranan dan mengambil tanggungjawab masing-masing dalam memastikan pencapaian pelaksanaan dasar satu peratus peluang pekerjaan kepada OKU dalam organisasi dan agensi di bawah kementerian mereka bagi memenuhi matlamat dasar yang ditetapkan.

  

Pada pandangan YB perlukan undang-undang baharu diwujudkan memandangkan ia masih berlaku?

Pindaan Akta Kerja 1955 yang mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2023 turut membabitkan peruntukan berkenaan diskriminasi dalam pekerjaan (Seksyen 69F) di mana JTKSM boleh menyiasat atau memutuskan apa-apa aduan oleh pekerja ke atas majikan mengenai apa-apa perkara berkaitan diskriminasi dalam pekerjaan. Sekiranya seseorang pekerja OKU merasakan wujudnya diskriminasi dalam pekerjaan, mereka boleh membuat aduan ke JTK yang berdekatan.

Malah, di bawah Akta Pekerja 1955 juga terdapat peruntukan yang sama untuk semua golongan ini bagi memelihara hak-hak dan isu-isu berkaitan dengan pekerja. Di bawah Seksyen 20, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 juga memberi perlindungan kepada pekerja-pekerja yang dipecat tanpa sebab dan alasan yang munasabah termasuklah golongan OKU. Seksyen ini memperuntukkan hak kepada seseorang pekerja memfailkan representasi untuk dipulihkan semula ke jawatan asalnya.

Selain itu kerajaan juga boleh memperkasakan akta yang sedia ada dengan menguatkuasakan penguatkuasaan undang-undang yang terdapat dalam Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) iaitu di bawah seksyen 29 yang memperuntukkan OKU hendaklah mempunyai akses kepada pekerjaan atas kesetaraan dengan orang upaya.

  

Berapakah aduan yang diterima dan apakah faktor berlakunya diskriminasi berkenaan?

KESUMA menerusi JTKSM tidak menerima aduan berkaitan OKU mendapatkan pekerjaan atau diskriminasi OKU di tempat kerja bagi tahun 2023. Sekiranya JTKSM menerima aduan berkaitan diskriminasi pekerjaan yang melibatkan OKU, siasatan berdasarkan Seksyen 69F Akta Kerja 1955 boleh dijalankan.

Selain itu saya berpandangan jika berlaku diskriminasi ke atas OKU ini, adalah disebabkan masih terdapat segelintir majikan yang masih mempunyai mentaliti dan stigma dalam memberi peluang dan ruang kepada golongan OKU untuk bekerja.

Majikan harus yakin bahawa OKU tersebut boleh bekerja walaupun terdapat limitasi dan memerlukan kos tambahan untuk menyokong golongan OKU tersebut untuk bekerja. Isu aksesibiliti tempat kerja yang tidak mesra OKU juga menyumbang ke arah isu ini. Dalam permasalahan seperti ini, Kesuma akan melihat secara komprehensif dan terus mempergiatkan lagi usaha bagi menangani segala isu yang masih berbangkit secara holistik termasuk meningkatkan kesedaran dan galakan kepada pihak majikan termasuk menambah baik kemudahan bagi golongan OKU di tempat kerja.

Apakah langkah yang boleh dilakukan Kesuma bagi menangani isu diskriminasi proses mendapatkan pekerjaan dalam kalangan OKU?

Kesuma amat memandang serius berkenaan isu diskriminasi dalam penggajian OKU oleh yang demikian Kesuma menerusi Perkeso giat menjalankan pelbagai program dan usaha memastikan majikan membuka ruang dan peluang dalam penggajian OKU, sekali gus mengurangkan isu diskriminasi terhadap OKU. Sehingga 9 Februari 2024, seramai 16,131 pencari kerja di bawah kategori OKU berdaftar dalam portal ini.

Dalam tempoh yang sama, seramai 9,207 pencari kerja OKU berjaya ditempatkan di majikan dalam Program Penempatan Pekerjaan menerusi bantuan Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso.

Bagi mengatasi isu diskriminasi ini melalui Perkeso juga mengadakan pelbagai program berbentuk kesedaran kepada majikan serta memberikan pendedahan dan sokongan kepada majikan bagi menggajikan pekerja OKU. Program yang telah diadakan adalah Program Disability Equality Training (DET) dan Return To Work Coordinator (RTWC).

Saya begitu teruja apabila Karnival Kerjaya Myfuture Jobs Kesuma baru-baru ini berjaya membuahkan hasil di mana seramai 7,691 orang telah menghadiri temuduga dan 2,410 daripadanya berjaya mendapat pekerjaan serta-merta manakala yang selebihnya masih di peringkat saringan. Selain daripada itu, jika dilihat secara mendalam, banyak syarikat-syarikat besar dan terkemuka mula mengambil bahagian dan menunjuk minat mereka dalam menyokong dasar berkaitan.

Dalam masa yang sama juga, bagi mengatasi diskriminasi dalam penggajian bagi OKU Mental pula, Perkeso menjalinkan kerjasama strategik dengan Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Pusat Kesihatan Mental Masyarakat melaksanakan Program Re-Employment Support, Treatment and Rehabilitation Teamwork (Restart) khusus untuk OKU Mental. Program Restart ini adalah untuk membantu pesakit mental menerusi usaha sokongan individu dan penempatan pekerjaan.

Kesuma melalui Perkeso juga secara khusus membantu mereka yang hilang upaya menerusi Pelaksanaan Program Return To Works (RTW). Program RTW ini merupakan program pengurusan hilang upaya khusus untuk membantu pencarum Perkeso yang cedera atau menghidapi penyakit untuk dipulihkan dan dan seterusnya kembali semula bekerja lebih awal, sihat dan selamat. Berdasarkan statistic Perkeso, dari tahun 2017 sehingga 9 Februari 2024, seramai 74,424 orang berinsurans hilang upaya dan OKU telah mengikuti program ini dan daripada jumlah tersebut seramai 53,048 orang berinsurans hilang upaya dan OKU telah berjaya dibantu untuk kembali semula ke alam pekerjaan. Program ini juga telah dipilih sebagai antara indeks pencapaian utama (KPI) Kementerian Sumber Manusia sejak 2010. 

Selain itu Kesuma menerusi TalentCorp (Talent Corporation) juga dalam proses akhir dalam menyediakan Kajian Penambahbaikan Kod Amalan Pekerjaan Bagi Orang Kurang Upaya (OKU) dalam Perkhidmatan Awam dan Sektor Swasta di Malaysia dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia. Kajian ini dibuat bagi memahami cabaran dan keperluan pekerja OKU, rakan sekerja dan majikan dalam Perkhidmatan Awam dan Sektor Swasta, menilai semula pengurusan penggajian pekerja OKU dalam Perkhidmatan Awam dan Sektor Swasta

Menerusi HRD Corp, kita akan memperuntukan semula dana khas menggunakan 15 peratus daripada jumlah kutipan levi bagi melaksanakan Program Latihan Madani merangkumi program latihan semula dan peningkatan
kemahiran kepada Usahawan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dan golongan rentan seperti OKU melalui Program Persons With Disabilities (PWDs).

Menerusi pelbagai usaha yang telah diadakan ini dapat memperlihatkan komitmen tinggi KESUMA dalam menangani isu diskriminasi OKU dan akan terus memastikan hak OKU khususnya dalam penggajian OKU terus terbela dan misi strategik Kesuma berkaitan OKU iaitu kebajikan, kemahiran dan keberhasilan dapat diterap kerana jika kebajikan golongan OKU ini terbela sekaligus memberi mereka peluang untuk meningkatkan kemahiran dan kesan limpahnya akan diukur dari segi keberhasilan kepada golongan OKU termasuk majikan mereka sendiri.

   

Apakah insentif dan manfaat diperoleh syarikat swasta yang mengambil pekerja OKU?

KESUMA komited untuk memberi perhatian yang sewajarnya kerana golongan ini juga memainkan peranan yang penting dalam landskap tenaga buruh di Malaysia.

Dalam menyokong langkah inklusif dalam pengambilan pekerja dari golongan rentan termasuk OKU, Kerajaan menyediakan insentif sehingga RM9,000 kepada majikan selain daripada pengurangan cukai kepada pembelian bantuan alatan dan pengubahsuaian pejabat bagi setiap pekerja yang digajikan di bawah kategori bekas banduan, pesara dan OKU menerusi Program Daya Kerjaya 2.0. Dengan statistik terkini daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berakhir 31 Januari 2023, seramai 637,537 individu berdaftar sebagai OKU.

Kerajaan juga memperkenal pelbagai inisiatif khusus OKU bagi memastikan perlindungan nasib serta hak golongan ini dijamin melalui pelan pemulihan ekonomi negara. Enam jawatankuasa ditubuhkan dengan misi untuk membangunkan golongan OKU di negara ini. Salah satu daripadanya ialah Jawatankuasa Pekerjaan yang memberi tumpuan khusus kepada isu-isu berkaitan pekerjaan bagi golongan OKU. Jawatankuasa ini berjaya melaksanakan program berimpak tinggi seperti pendaftaran dan penempatan OKU dalam sektor swasta, penempatan 1 peratus warga OKU dalam sektor awam, promosi mendorong penggajian OKU, penubuhan Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU (SBGP-OKU), dan Program Return to Work (RTW) melalui Perkeso.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 7:50 AM