GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Permohonan bagi enam program di bawah Bajet 2022 yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sudah mula dibuka sejak 1 Januari lalu.

Perkeso dalam kenyataan memaklumkan, program berkenaan ialah Sistem Insurans Pekerja (SIP) Subsidi Upah Bersasar, SIP Elaun Mencari Pekerjaan+; SIP Gig, Skim Pekerjaan Sendiri Lindung (SPS) Padanan Caruman, SPS Khidmat dan Program Jamin Kerja-Insentif Penggajian.

Menurutnya, majikan daripada sektor pelancongan yang terkesan dan mengalami penurunan pendapatan akibat penularan Covid-19 boleh membuat permohonan bagi program SIP Subsidi Upah Bersasar atau PSU 5.0 bermula 1 Januari sehingga 31 Mac depan.

Katanya, insentif kewangan sebanyak RM600 sebulan diberikan untuk setiap pekerja selama tiga bulan terhad kepada 500 orang pekerja bagi setiap perusahaan.

"Individu yang kehilangan pekerjaan atau sedang mencari pekerjaan boleh memohon Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) menerusi program SIP Elaun Mencari Pekerjaan+ (SIP EMP+).

"Inisiatif ini ditambah baik tahun ini dengan bantuan kewangan turut diberikan kepada pencarum dan bukan pencarum Perkeso.

"Permohonan bagi pencarum Perkeso sudah dibuka selama enam bulan bermula dari 1 Januari 2022 sehingga 30 Jun ini manakala permohonan SIP EMP+ bagi individu bukan pencarum Perkeso pula dibuka selama 12 bulan bermula dari 1 Januari sehingga 31 Disember depan," katanya hari ini.

Kenyataan itu berkata, bagi golongan Orang Bekerja Sendiri (OBS) khususnya daripada lapan kategori seperti Orang Asli, pekerja gig, penjaja, orang kurang upaya (OKU), pengusaha sektor pelancongan, artis, petani dan usahawan wanita, boleh memohon insentif SPS Padanan Caruman untuk dilindungi di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso selama setahun dan permohonan boleh dibuat mulai 1 Januari sehingga 31 Disember depan.

Katanya, OBS yang tergolong dalam empat kategori iaitu anggota pasukan sukarelawan, pekhidmat rumah ibadat Islam (Jakim), penyelia dan petugas pemulihan komuniti dan anggota sektor awam berstatus Contract For Service layak memohon program SPS Khidmat.

"Permohonan bagi SPS Khidmat kini dibuka sejak 1 Januari sehingga 31 Disember depan dengan mengemukakan permohonan melalui agensi pentadbiran kawal selia masing-masing.

"Mulai 2022, majikan yang membuat pengambilan pekerja baharu dalam kalangan perantis, graduan dan golongan mudah terjejas seperti OKU, bekas tentera dan bekas banduan boleh memohon insentif penggajian daripada Perkeso menerusi Program Jamin Kerja-Insentif Penggajian.

"Majikan daripada semua kategori industri yang berdaftar dengan Perkeso sebelum 1 Januari lalu boleh menikmati insentif maksimum sebanyak RM36,000 untuk setiap pekerja yang digajikan dalam tempoh 12 bulan.

"Program Jamin Kerja-Insentif Penggajian boleh dimanfaatkan kepada majikan yang mengambil pekerja wanita, sektor berkaitan pelancongan dan melaksanakan penggantian jawatan pegawai dagang dengan pekerja tempatan.

"Insentif penggajian ini dijangka dapat merangsang penawaran pekerjaan dalam kalangan majikan serta mengurangkan kadar pengangguran negara dengan sasaran penempatan sebanyak 250,000 pencari kerja. Permohonan bagi program ini boleh dibuat secara dalam talian mulai 17 Januari sehingga 30 Jun ini," katanya.

Menurutnya, individu yang tergolong dalam kumpulan yang diberikan notis cuti tanpa gaji, diberhentikan kerja, menganggur lebih 60 hari, pencari kerja daripada golongan terjejas atau suri rumah yang tidak bekerja lebih dari enam bulan boleh memohon insentif kewangan di bawah program SIP Gig.

Katanya, program itu menawarkan bantuan kewangan sebanyak RM600 sehingga RM800 sebulan selama maksimum enam bulan kepada individu yang bekerja dalam sektor tidak formal atau ekonomi gig melalui platform berdaftar di bawah Perkeso untuk jangka masa pendek.

"Permohonan insentif sudah dibuka mulai 17 Januari lalu sehingga 30 Jun ini.

"Keluarga Malaysia khususnya mereka yang layak untuk memohon digalakkan untuk mengemukakan permohonan dengan segera," katanya.

Layari laman web rasmi Perkeso di pautan www.perkeso.gov.my untuk memohon kesemua inisiatif atau boleh dibuat menerusi Aplikasi Prohatin Perkeso yang boleh dimuat turun di AppStore atau PlayStore.

"Maklumat lanjut bagi setiap inisiatif boleh diperoleh menerusi Soalan-soalan Lazim (FAQ) di laman web rasmi Perkeso dan media sosial rasmi Perkeso atau hubungi Careline di talian 1-300-22-8000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 6:33 PM