Sri Ayu Kartika Amri


KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melancarkan Kempen Ambil Pekerja Lokal bagi menggalakkan pengambilan tenaga kerja tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

Kempen itu adalah program susulan daripada inisiatif Malaysianization yang dilaksanakan dari 2021 untuk menggalakkan majikan menggajikan pekerja tempatan bagi jawatan yang sebelumnya diisi oleh pekerja asing.

Menterinya, V Sivakumar berkata, untuk menggalakkan lagi penggajian pekerja tempatan, pihaknya dan Perkeso juga menyokong Projek Reben Kuning yang memberi ruang kepada bekas banduan terutama belia dan bekas pelajar juvana untuk memperoleh pekerjaan.

Katanya, majikan diseru untuk bekerjasama dengan KSM dalam menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan dan bersungguh-sungguh lagi dalam menggajikan pekerja tempatan.

"Langkah ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030.

"Majikan juga diseru memanfaatkan Insentif Penggajian Bersasar-Program Daya Kerjaya untuk meningkatkan penawaran pekerjaan kepada warga tempatan.

"Program ini memberikan insentif sehingga RM1,800 selama tiga bulan kepada pekerja baharu yang digajikan majikan dalam kalangan golongan mudah terjejas seperti orang kurang upaya (OKU), miskin tegar, wanita, individu diparol serta bekas banduan dan juga graduan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) atau lepasan sekolah yang menganggur lebih dua bulan," katanya dalam kenyataan.

Insentif Kerjaya Madani 2023 yang dilancarkan KSM, baru-baru ini, melengkapi Kempen Ambil Pekerja Lokal kerana ia memberi fokus kepada peningkatan peluang pekerjaan dan penempatan pekerjaan untuk pelbagai kumpulan sasar di bawah Program Daya Kerjaya, Daya Kerjaya TVET dan Program Bina Kerjaya.

Permohonan untuk insentif terbabit sudah dibuka pada 1 Mei 2023 sehingga 31 Disember 2023.

Insentif Kerjaya Madani 2023 adalah sebahagian daripada 10 inisiatif Belanjawan 2023 yang diamanahkan kerajaan kepada KSM menerusi Perkeso.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 6:05 AM