DISKRIMINASI terhadap golongan OKU perlu diselesaikan secara baik dan teratur. FOTO Arkib NSTP
DISKRIMINASI terhadap golongan OKU perlu diselesaikan secara baik dan teratur. FOTO Arkib NSTP
Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Pindaan terhadap Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 dan Akta Kerja 1955 perlu dilakukan selain memperkenalkan kod etika dan garis panduan bagi memperkemaskan situasi pekerjaan bagi komuniti OKU.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Ikmal Hisham Md Tah berkata, diskriminasi terhadap golongan OKU perlu diselesaikan secara baik dan teratur.

Menurutnya, ini bagi membolehkan majikan dan pekerja dapat bekerja dalam suasana yang aman dan kedua-dua belah pihak mendapat manfaat daripada pekerjaan sedia ada.

"Namun begitu sekiranya diskriminasi yang berlaku lebih teruk atau tidak dapat diselesaikan maka perlu ada mekanisme dalam organisasi bagi menanganinya.

"'Political Will' (kemahuan politik) dalam meminda undang-undang berkaitan sangat diperlukan sekiranya kerajaan serius dalam menangani diskriminasi OKU secara holistik.

"Saya berpandangan isu diskriminasi pekerja OKU perlu ditangani secara harmoni dan berperingkat agar survival dan masa depan mereka terjamin terutama dalam masa-masa sukar sekarang," katanya.

Katanya, akta sedia ada serta akta lain termasuk Akta Kerja 1955 sudah memberi ruang dan peluang kepada OKU dalam mendapat pekerjaan mereka.

"Namun begitu penambahbaikan terhadap akta dan dasar sedia ada perlu dikemaskini agar isu-isu antara majikan dan pekerja OKU dapat diselesaikan dengan baik.

"Selain itu, isu perundangan yang perlu dilihat ialah diskriminasi dalam mencari kerja bagi komuniti OKU. Perkara ini tidak dinyatakan dengan jelas dalam mana-mana akta memandangkan kesukaran dan kekurangan 'political will' dalam menangani isu diskriminasi pekerjaan," katanya.

Menurutnya, Majlis Kebangsaan Bagi OKU juga boleh memainkan peranan dalam menggalakkan pengambilan pekerja OKU di peringkat swasta, merumuskan dasar, tindakan alternatif, peluang latihan, keusahawanan, perniagaan sendiri dan bekerja dari rumah kepada OKU.

"Menerusi langkah-langkah ini, komuniti OKU akan mendapat banyak manfaat dan peluang dalam pekerjaan dan memberi sumbangan bermakna kepada organisasi dan negara," katanya.

Katanya, sekiranya berlaku diskriminasi perlu ada mekanisme dan cara penyelesaian yang sesuai dan munasabah terutamanya dalam menangani keperluan komuniti OKU.

"Kena lihat dengan teliti adakah diskriminasi itu boleh diselesaikan secara dalaman atau membabitkan pihak lain sebelum tindakan undang-undang boleh diambil," katanya.

LAPORAN  Metro Ahad, 3 Mac 2024. FOTO Arkib NSTP
LAPORAN Metro Ahad, 3 Mac 2024. FOTO Arkib NSTP

Kikis persepsi negatif terhadap golongan OKU

Majikan perlu mengikis persepsi negatif terhadap golongan orang kurang upaya (OKU) kerana mereka juga mempunyai keupayaan daripada sudut yang berbeza.

Presiden Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, pihaknya menggalakkan sektor swasta untuk lebih menyantuni OKU dan meningkatkan peluang pekerjaan di pelbagai sektor ekonomi.

"Kajian yang dilakukan penyelidik menunjukkan sektor swasta telah dapat memenuhi sasaran yang ditetapkan dan daya usaha sektor swasta menunjukkan komitmen tinggi untuk memberi peluang pekerjaan kepada OKU.

"Walaupun sasaran satu peratus penggajian OKU di sektor swasta telah dicapai, ini tidak bermakna sektor swasta tidak akan terus menambah peratusan OKU yang digajikan di dalam sektor ini," katanya.

Katanya, pengambilan OKU sebagai pekerja di sektor swasta perlu dibuat berdasarkan keupayaan dan sumbangan golongan itu kepada syarikat, bukannya atas dasar belas kasihan.

"Isu diskriminasi terhadap OKU tidak sepatutnya timbul kerana suasana persekitaran kerja pada masa kini, kebanyakan majikan swasta telah melaksanakan amalan strategi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya.

Katanya, majikan sektor swasta mempunyai tanggungjawab sosial bagi memastikan OKU tidak didiskriminasi berdasarkan peruntukan dalam Akta Kerja 1955 melalui pindaan yang dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2023.

"MEF berusaha meningkatkan kesedaran majikan sektor swasta tentang keupayaan OKU untuk menyumbang kepada pertumbuhan syarikat.

"Pada tahun ini, MEF akan mengadakan persidangan kebangsaan untuk meningkatkan kesedaran kepada majikan mengenai keupayaan OKU dan faedah menggajikan OKU," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 7:10 AM