LAPORAN muka depan Harian Metro, semalam.
LAPORAN muka depan Harian Metro, semalam.
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Kajian Peluang Pekerjaan Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia (2020) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mendapati persepsi negatif dan sikap prejudis majikan terhadap OKU antara cabaran besar dihadapi OKU dalam pekerjaan.

Menerusi kajian itu juga mendapati dasar satu peratus peluang pekerjaan OKU di sektor awam yang diumßumkan sejak tahun 1988 hanya mencapai 0.33 peratus saja selepas 33 tahun.

Ketua Unit Perkhidmatan Kurang Upaya, Pejabat Timbalan Rektor (Pembangunan dan Jaringan Pelajar) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Ruzita Mohd Amin berkata, menerusi kajian itu, kumpulan majikan mendapati OKU merangkumi 1.2 peratus dari jumlah pekerja sepenuh masa.

"Manakala di sektor awam pula hanya 0.33 peratus dari penjawat awam adalah OKU," katanya.

"Peratusan itu jauh dari sasaran. Malah semakin tinggi kelayakan akademik, semakin sukar untuk OKU mendapat pekerjaan yang sejajar dengan kelulusan yang ada.

"Data dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapati daripada kesemua pendaftar individu LHDN, cuma 0.1 peratus adalah pendaftar OKU dan hanya 0.36 peratus syarikat membuat tuntutan OKU dengan LHDN.

"Angka itu konsisten dengan maklum balas daripada majikan bahawa kebanyakan mereka tidak tahu mengenai insentif pelepasan cukai apabila mereka menggajikan pekerja OKU," katanya yang turut menjadi salah seorang penyelidik di dalam laporan berkenaan.

Jelasnya, kajian itu melihat kepada pengumpulan data dan input berkenaan peluang pekerjaan OKU di Malaysia.

"Kajian ini dilaksanakan selama 10 bulan bermula dari Mei 2019 yang mana jumlah keseluruhan sampel adalah sebanyak 1,917 merangkumi OKU (756 responden), majikan (426 responden), ahli keluarga (289 responden) dan masyarakat (386 responden) serta 60 responden daripada pakar bidang berkaitan.

"Hasil kajian ini mendapati majoriti majikan menyatakan tiada pekerjaan sesuai untuk OKU. Sekiranya ada, kebanyakan adalah pekerjaan rendah," katanya.

Tambahnya, kenyataan itu menggambarkan majoriti majikan masih kurang pengetahuan mengenai OKU dan tahap kemampuan mereka yang berbeza-beza.

"Stigma bahawa OKU hanya sesuai melakukan pekerjaan rendah masih menebal dalam kalangan majikan. Dapat disimpulkan bahawa OKU masih menghadapi kesukaran mendapatkan penempatan pekerjaan yang disebabkan oleh stigma dan persepsi negatif majikan, kurang pengetahuan dan empati terhadap OKU," katanya.

Jelasnya, kurangnya kemudahan dan ralat ketercapaian bangunan pejabat dan pengangkutan bertambah menyukarkan lagi mereka keluar bekerja.

"Justeru itu, suatu ekosistem inklusif OKU perlu diwujudkan melalui pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu bagi menangani isu ini bagi kesejahteraan kehidupan OKU," katanya.

Ruzita berkata, menerusi kajian itu juga mendapati daripada 756 responden OKU, 95 peratus daripada mereka berada dalam kategori B40.

"Sejumlah 52 peratus daripada mereka menerima gaji kurang gaji minima, dan 40 peratus daripada mereka adalah golongan miskin yang bergaji kurang RM950 sebulan," katanya.

Mengulas mengenai dasar satu peratus di sektor awam, katanya, selepas 33 tahun ia diperkenalkan daripada 26 kementerian yang ada didapati hanya empat kementerian sahaja (hanya 15 peratus dari kementerian yang ada) yang mencapai satu peratus penempatan pekerjaan OKU.

"Kementerian yang mencapai sasaran itu ialah KPWKM, Kementerian Perpaduan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi," katanya.

MDEC laksana inisiatif manfaat semua golongan

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melaksanakan beberapa inisiatif yang memberi manfaat kepada semua kelompok masyarakat termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) di dalam industri permainan digital dan animasi.

Antara usaha diadakan di peringkat sekolah rendah dan menengah adalah melalui pelancaran program KRE8TIF@SCHOOL sejak 2016 bagi mengukuhkan pengetahuan serta kemahiran dalam bidang permainan digital dan animasi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ts Mahadhir Aziz berkata, program digital itu merangkumi kursus digital dan juga pertandingan untuk memudahkan pelajar, khususnya golongan OKU untuk menyertainya bersama guru dan penjaga

"MDEC juga menyediakan pelbagai dana atau geran bagi menyokong perkembangan industri digital termasuk pembangunan kandungan digital seperti Digital Content Creators Challenge (DC3) dan Digital Content Grant (DGC).

"Golongan OKU tidak terkecuali boleh memanfaatkan dana berkenaan untuk membiayai projek kreatif selain mendapat didikan mentor untuk membangunkan projek mereka," katanya.

Jelasnya, dana itu boleh dimanfaatkan untuk promosi hasil karya mereka. Setiap tahun, MDEC turut melancarkan beberapa program bengkel untuk melatih rakyat umum dalam industri digital kreatif.

"MDEC juga mempunyai beberapa inisiatif latihan peningkatan keupayaan terutama bagi memberikan pendedahan serta kemahiran digital untuk membantu peserta menjana pendapatan menerusi arus digital terkini.

"Program sebegini memberikan manfaat kepada golongan remaja, usahawan, graduan, peniaga mikro, kecil dan sederhana di seluruh rakyat Malaysia termasuklah golongan OKU," katanya.

Katanya lagi, program eRezeki bertujuan memberikan peluang penjanaan pendapatan dengan menyalurkan tugas atau pekerjaan melalui platform digital kepada individu terutama golongan rakyat berpendapatan rendah termasuklah OKU.

"Peserta yang menyertai program eRezeki akan dilatih dan dipadankan dengan tugas atau kerja yang bersesuaian dengan kemahiran mereka," katanya.

Rangka program tingkat keupayaan OKU

Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendedahkan ada 691,427 orang kurang upaya (OKU) pada 2023.

Jumlah itu juga menunjukkan peningkatan OKU di Malaysia saban tahun apabila 586,558 OKU dicatatkan pada 2020.

Manakala pada 2021 pula terdapat 590,418 OKU sebelum meningkat kepada 633,653 pada 2022.

Jurucakap JKM berkata, pihaknya sentiasa merangka program bagi meningkatkan keupayaan OKU termasuk bagi memasuki sektor pekerjaan.

"Antara program dilaksanakan adalah Bengkel Terlindung di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Terdapat dua Bengkel Terlindung iaitu Bengkel Daya Klang, Selangor dan Bengkel Daya Sungai Petani, Kedah.

"Penubuhan bengkel ini adalah untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada OKU yang tidak mampu bersaing di pasaran luar," katanya.

Di samping itu, bengkel terbabit ditubuhkan untuk melatih mereka supaya berdikari dan meningkatkan kemahiran diri dalam bidang tertentu supaya mendapat lebih peluang bekerja di pasaran terbuka.

"Bengkel Daya menyediakan peluang kemahiran di Unit Kerja (Bengkel Perusahaan) kepada pekerja OKU seperti jahitan, sulaman, roti dan pastri, dobi, peruncitan dan bistro (restoran).

"Sehingga kini, 75 OKU mendapat manfaat di Bengkel Daya. Perkhidmatan Job Coach yang diperkenalkan pada 2012 melalui kerjasama antara JKM dan Japan InternationalCooperation Agency (JICA). Ini adalah inisiatif untuk memberi sokongan pekerjaan kepada OKU.

"Dalam tempoh 2012 hingga April 2023, seramai 1,573 OKU mendapat pekerjaan melalui perkhidmatan JobCoach. Sejumlah 956 majikan juga menggajikan OKU melalui Job Coach," katanya.

Menurutnya, media sosial berkembang pesat dan menjadi platform menjadi penjenamaan, ekspresi kendiri, dan perniagaan.

"Media sosial kini menjadi saluran utama dan pilihan mendapatkan inspirasi, maklumat, berkomunikasi dan berhubungan dalam komuniti berbanding media konvensional dan elektronik.

"PDKNet adalah Projek Rintis Program ICT dan Multimedia bagi membantu golongan OKU dalam proses pembelajaran dan pemulihan.

"Program PDKNet adalah inisiatif dilaksanakan KPWKM untuk merapatkan jurang digital di antara komuniti Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) menggunakan ICT sebagai pemangkin kepada pembelajaraninteraktif kepada golongan sasar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 12:00 PM