PELAN Tindakan OKU 2016-2022 yang dibangunkan di bawah KPWKM sangat mementingkan pembangunan dan hak golongan OKU.
PELAN Tindakan OKU 2016-2022 yang dibangunkan di bawah KPWKM sangat mementingkan pembangunan dan hak golongan OKU.
KAFE AHAD

Berdasarkan statistik yang dikongsi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenai peningkatan orang kurang upaya (OKU) di Malaysia menunjukkan pertumbuhan yang ketara dari tahun ke tahun.

Pada 2023, 691,427 orang kurang upaya (OKU) pada 2023 dicatatkan berbanding 633,653 pada 2022 dan 590,418 orang pada tahun sebelumnya.

Namun isu diskriminasi mendapatkan pekerjaan dalam kalangan golongan itu menjadi perhatian kumpulan berkenaan.

Kafe Ahad mendapatkan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) DATUK SERI NANCY SHUKRI yang berkongsi pandangannya mengenai isu berkenaan kepada wartawan, HAFIZ ITHNIN.

Bagaimana Datuk Seri melihat kepentingan OKU kepada ekonomi negara?

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa prihatin berhubung dengan isu berkaitan pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada orang kurang upaya (OKU).

Bagi membantu OKU mendepani cabaran ekonomi yang sangat sengit dan kompetitif, pelbagai inisiatif dan usaha yang dijalankan kerajaan untuk menggalakkan OKU dalam sektor kerajaan dan swasta.

Antaranya ialah Dasar Satu Peratus Peluang Pekerjaan dalam Perkhidmatan Awam kepada orang kurang upaya diperkenalkan pada tahun 1988 dan pelaksanaannya adalah melalui Perkhidmatan Pekeliling pada 2008 dan 2010.

Tujuan utama dasar ini diperkenalkan adalah untuk meningkatkan lagi keupayaan modal insan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya bagi OKU dan merealisasikan hasrat menjadikan rakyat Malaysia sebagai masyarakat Madani Pelan Tindakan OKU 2016-2022 yang dibangunkan di bawah KPWKM sangat mementingkan pembangunan dan hak golongan ini.

Salah satu daripada 10 Teras ialah Memperkasakan Ekonomi Golongan OKU. Kerajaan mengambil pendekatan meningkatkan peluang golongan OKU untuk bekerja sendiri dengan menyertai bidang keusahawanan dan program pemerkasaan ekonomi. Usaha kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi telah dilakukan membuktikan bahawa golongan ini tidak dipinggirkan

Menerusi laporan Kajian Peluang Pekerjaan Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia (2020) yang dilaksanakan untuk KPWKM, menunjukkan setelah 33 tahun hanya 0.34 peratus saja tercapai. Mengapa?

Ia boleh dicapai sekiranya orang kita memberi kerjasama beri pekerjaan kepada mereka (OKU). Ia bukan tidak dicapai tetapi masih belum dapat dicapai.

Cuma kita, di KPWKM sudah mencapainya. Namun ia bukan tanggungjawab kami saja kerana kerajaan yang membuat dasar ini.

Apabila kerajaan yang mewujudkannya, maka dasar ini menjadi tanggungjawab semua kementerian. Kami juga melihat kepada mengapa ia tidak tercapai kerana secara peribadi saya pernah cuba membantu OKU yang ingin mendapatkan pekerjaan tetapi disebabkan akses untuk OKU di premis tempat kerja menjadikan cabaran untuk mereka diterima kerja terutama di bangunan yang lama. Namun pada hari ini, kebanyakan bangunan baharu sudah mempunyai kemudahan kepada OKU. Jadi bangunan lama perlu dipertingkatkan infrastruktur kepada golongan OKU. Jadi bukan mereka tidak mahu bantu tetapi itulah keadaannya.

Adakah Datuk Seri akan berbincang dengan semua kementerian memandangkan KPWKM menjadi juara di dalam golongan ini bagi memastikan sasaran dasar satu peratus itu dapat dicapai?

Bagi saya tidak perlu adakan perbincangan tetapi boleh dibawa ke Kabinet lagi. Selalunya kami (antara menteri) bercakap secara kasual tetapi saya boleh kemukakan kepada Kabinet mengenai perkara ini supaya kita boleh membawa ke kementerian masing-masing.

Malah kita juga ada Majlis Kebangsaan OKU yang mewakili organisasi masing-masing. Mereka ini yang menjadi penasihat kepada kerajaan memandangkan ahlinya terdiri daripada pensyarah dan penyelidik yang boleh memberi pandangan serta statistik mengenai keperluan OKU. Saya akan bawa isu ini ke Kabinet.

Adakah Datuk Seri bersetuju masih berlaku isu diskriminasi peluang pekerjaan kepada OKU?

Kita sebagai orang bukan OKU tidak merasakannya. Saya nak katakan tidak bersetuju tidak adil kerana yang merasakan OKU itu sendiri.

Cuma saya katakan begini, kita ada ruang tertentu untuk mereka mengadu. Jika OKU menceritakan kepada kami, kementerian akan nasihatkan supaya mereka pergi mengadu kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) jika membabitkan JPA.

Bagi kita, OKU tidak perlu untuk merujuk dari segi undang-undang jika berlaku diskriminasi kerana ia akan menjadi beban kepada mereka sendiri.

Kita tidak mahu isu ini menjadi beban kepada mereka, tetapi jika dimaklumkan kepada kita, kami boleh bantu. Disebabkan itu, kalau di KPWKM mempunyai kaunselor dan ambil kira semua ini untuk diambil rekod. Kami tidak mahu OKU ini didiskriminasi. Cuma kita mahu tahu jenis diskriminasi yang berlaku. Jika dari segi pekerjaan kita ada cara untuk membantu mereka menerusi job coach dan kita juga ada kerjasama dengan kementerian lain untuk memberikan mereka pekerjaan.

Jadi kita akan nilaikan diskriminasi itu. Mereka mempunyai ruang untuk mengadu dan kita akan membantu mereka mendapatkan pekerjaan menerusi kerjasama yang ada dengan kementerian termasuk bersama pihak swasta.

Jika tiada tindakan isu diskriminasi ini, bagaimana?

Sebenarnya bukan tugas KPWKM, tetapi jika mereka mengadu kami ada alternatif sebab yang penting mereka mahukan pekerjaan. Nak siasat bukan kerja kita. Kalau asyik ingin siasat bila mahu berikan mereka pekerjaan? Bagi saya kita perlu fokus.

Fokus kita adalah untuk membantu orang ini mendapat pekerjaan. Malah kami ada juga cara untuk mereka menjadi usahawan.

Difahamkan pada 2024 akan berlaku penggubalan Akta OKU 2008. Adakah akta ini merangkumi dari segi penguatkuasaan dan ada elemen anti diskriminasi?

Betul. Ia masih belum muktamad lagi kerana belum dibentangkan kepada saya dan pihak berkepentingan lain terlebih dulu supaya kita boleh menyemak untuk perkara ini.

Itu saya belum tahu kerana saya tidak mahu bercakap mengenai perkara berkenaan kerana tidak mahu mengambil tugas orang lain. Jika ia berada di bawah kuasa orang lain, tidak boleh dengan mudah mengambil kuasa orang. Walaupun OKU di bawah kita tetapi diskriminasi itu agak sukar untuk kami menanganinya. Namun saya akan melihat apa yang akan dimasukkan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 6:15 AM