Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berucap ketika menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Perkhidmatan Rehabilitasi Pediatrik di Hospital Rehabilitasi Cheras hari ini. FOTO BERNAMA
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berucap ketika menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Perkhidmatan Rehabilitasi Pediatrik di Hospital Rehabilitasi Cheras hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kanak-kanak dari golongan orang kurang upaya (OKU) seharusnya menikmati peluang sama rata dalam semua aspek kehidupan meliputi aksesibiliti, mobiliti, pendidikan, pekerjaan, kesihatan dan pemulihan, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata berdasarkan hasil dapatan kajian yang dilaksanakan oleh badan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia pada 2016, petugas kesihatan dianggap kurang sensitif dan tidak profesional apabila menyantuni kanak-kanak OKU akibat kekurangan kesedaran dan latihan.

"Saya menyeru kepada semua, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai petugas kesihatan membantu anak-anak ini agar mereka dapat mengecapi masa hadapan yang lebih baik.

"Kasih sayang, kegembiraan dan harapan terhadap golongan kanak-kanak OKU yang berumur 18 tahun dan ke bawah harus mendorong mereka untuk meneruskan kehidupan dengan diberikan peluang untuk mendapatkan pelajaran dan pekerjaan yang terbaik sejajar dengan kemampuan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-10 Perkhidmatan Rehabilitasi Pediatrik di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) di sini, hari ini yang turut dihadiri timbalannya Lukanisman Awang Sauni.

Dr Zaliha berkata HRC yang mempunyai Perkhidmatan Rehabilitasi Pediatrik adalah satu-satunya hospital di Malaysia yang menawarkan program perkhidmatan rehabilitasi pediatrik multi-disiplin dengan kapasiti 22 katil dan perkhidmatan pesakit luar.

Sementara itu, Lukanisman dalam sidang media selepas program itu berkata KKM akan bekerjasama dengan kementerian lain seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperluaskan liputan perkhidmatan rehabilitasi pediatrik di HRC.

"Ini bukan aktiviti di bawah KKM secara bersendirian, sudah pasti kita akan bekerjasama dengan KPWKM dan juga KPM memandangkan mereka mempunyai saringan awal seperti mengenal pasti senarai OKU dan juga individu yang mengalami kemalangan sehingga menyebabkan kecacatan dan memerlukan rawatan di HRC.

"..mungkin juga Kementerian Sumber Manusia, untuk kalangan pekerja yang mempunyai anak-anak OKU tetapi tidak berupaya menghantar mereka ke HRC," katanya.

Beliau berkata kementerian akan turut mengkaji keperluan mewujudkan perkhidmatan di hospital dan fasiliti kesihatan negeri dan wilayah lain, tertakluk kepada keupayaan kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 4:29 PM