Keadaan kawasan penempatan keluarga Maryam Al-Sayed Deb yang dibedil Israel. FOTO  Hani Al-Shaer
Keadaan kawasan penempatan keluarga Maryam Al-Sayed Deb yang dibedil Israel. FOTO Hani Al-Shaer
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: 'Bernikah di dunia, berbulan madu di syurga'.

Begitu takdir tertulis buat pasangan pengantin baharu Palestin, Maryam Al-Sayed Deb dan suaminya Abdullah Abu Nahal apabila mereka terbunuh dalam pengeboman tentera Israel di Rafah pada Isnin lalu.

Menurut bapa Maryam, anak perempuannya itu bernikah dengan suaminya tiga hari sebelum Israel membedil mereka bersama 17 mangsa lain di khemah perlindungan Rafah.

"Anak saya boleh menghafaz al-Quran dan pelajar tahun tiga di Universiti Islam Gaza. Dia anak pintar dan selalu jadi pelajar terbaik setiap tahun.

"Dia harapan saya, tetapi dia akan bantu saya di akhirat nanti. Saya sangat bangga dengannya," katanya dalam keadaan sugul.

Lelaki itu berkongsi kisah anaknya itu dalam rakaman video dimuat naik Hani Al-Shaer.

Dia dilihat sebak apabila mengenangkan kematian tragis anaknya sambil ditenangkan seorang individu.

Dalam keterangan video itu, Hani memaklumkan pasangan terbabit menunggu perang tamat untuk mengadakan majlis perkahwinan, namun mereka terpaksa bernikah tanpa sebarang majlis keraian.

Katanya, pasangan itu terbunuh bersama beberapa ahli keluarga mereka selepas tempat perlindungan di Rafah menjadi sasaran bedilan Israel.

Sebelum ini, Rafah digelar Israel sebagai koridor selamat, bagaimanapun selepas membedil utara dan tengah Gaza, rejim Zionis itu mula menyasarkan bandar yang kini padat dengan lebih 1.5 juta orang.

Setakat kelmarin, Kementerian Kesihatan Palestin merekodkan angka korban seluruh Gaza meningkat kepada 29,195 orang, manakala 69,170 lagi cedera akibat serangan Zionis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 7:01 AM