PENDUDUK Palestin menaiki lori sebagai pengangkutan di Rafah di selatan Semenanjung Gaza. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin menaiki lori sebagai pengangkutan di Rafah di selatan Semenanjung Gaza. FOTO AFP
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kira-kira 1.4 juta penduduk Semenanjung Gaza yang berlindung di Rafah, umpama menunggu giliran kematian mereka apabila wilayah itu kini menjadi sasaran serangan terbaharu tentera Zionis.

Seorang doktor berkata, dia dan keluarganya tiada arah tuju selepas ancaman di wilayah itu semakin meningkat.

"Saya, anak-anak dan keluarga tidak tahu ke mana kami akan pergi kerana keadaan amat membimbangkan dan menyedihkan dengan iklim sejuk.

"Kami juga tidak boleh memikirkan apa yang perlu dibawa bersama sama ada tempat tidur, air, makanan atau pakaian.

"Keadaan ini malapetaka kerana kami tiada tempat tinggal untuk berlindung, malah kami bergelandangan seperti 1.5 juta juta orang yang berpindah ke Rafah," katanya berkongsi keadaan terkini kepada Gaza Medic Voices, semalam.

Seorang lagi doktor yang berpindah ke Rafah melahirkan kegusaran sama atas tindakan rejim Zionis melancarkan pencerobohan berskala besar di Rafah.

"Kami terperangkap, menunggu giliran kami dibunuh," katanya.

Dalam pada itu, seorang pakar bedah di Hospital Nasser, Khan Younis berkongsi keadaan mengerikan di kemudahan itu yang terus menjadi sasaran penembak tepat Israel.

"Tembakan penembak tepat Israel di sekitar hospital semakin kuat, dengan peluru dilepaskan ke arah orang di halaman hospital dan melalui tingkap hospital menyebabkan banyak kematian dan ramai cedera.

"Semua orang ketakutan dan tiada siapa dalam bangunan boleh bergerak," katanya.

Kementerian Kesihatan merekodkan lebih 100 kematian orang awam dengan ratusan lagi cedera selepas Rafah yang berkeluasan kira-kira 63 kilometer persegi dibedil tentera Israel sejak awal pagi tadi.

Rafah yang digelar koridor selamat Israel sebelum ini menyaksikan penghijrahan paksa lebih 1.4 juta penduduk Semenanjung Gaza, namun kini Israel semakin mara ke kawasan itu.

Malah, Human Rights Watch (HRW) memberi amaran dan menyeru komuniti antarabangsa mengambil tindakan mencegah kekejaman yang menyalahi undang-undang dan membawa malapetaka.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 4:21 PM