ANGGOTA polis cedera parah akibat sengaja dirempuh sebuah kereta dalam kejadian langgar lari di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor, di sini, malam tadi. FOTO ihsan polis
ANGGOTA polis cedera parah akibat sengaja dirempuh sebuah kereta dalam kejadian langgar lari di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor, di sini, malam tadi. FOTO ihsan polis
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Seorang anggota polis cedera parah akibat dipercayai sengaja dirempuh sebuah kereta dalam kejadian langgar lari di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejadian 7.30 malam itu mengakibatkan mangsa berumur 34 tahun mengalami patah tulang rusuk dan tulang bahu.

Mohd Yusri berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama seorang lagi anggota polis sedang bertugas melakukan rondaan cegah jenayah bermotosikal sebelum menghampiri sebuah kereta jenis Proton Iriz warna biru dalam keadaan keadaan mencurigakan di tepi jalan.

Katanya, pemandu Proton Iriz berkenaan kemudiannya bertindak mengundurkan kenderaan itu menyebabkan ia terus melanggar motosikal sehingga mangsa terjatuh.

Menurutnya, selepas melanggar mangsa, suspek menggerakkan kereta itu ke hadapan sebelum sekali lagi mengundurkan kenderaannya itu hingga melanggar mangsa buat kali kedua lalu terus meninggalkan tempat kejadian.

"Suspek memecut kereta meninggalkan tempat kejadian dengan menghala ke arah Tanah Hitam (Chemor).

"Impak pelanggaran itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan hingga tidak dapat bergerak, sebelum pemeriksaan di hospital mendapati mangsa mengalami patah tulang rusuk dan tulang bahu," katanya dalam kenyataan tengah malam ini.

Mohd Yusri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera parah dengan niat membunuh.

Katanya, susulan itu usaha mengesan pemandu itu giat dijalankan dengan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubungnya diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Asisten Superintendan (ASP) Norazlina Rais Ahmad di talian 013-6282176 atau kepada balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 12:38 AM