Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Pasangan tunang yang disyaki melakukan cubaan bunuh dengan melanggar lari anggota polis sehingga parah pada Ahad lalu, direman seminggu bermula hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Siti Nora Sharif, terhadap lelaki berusia 33 tahun dan wanita berumur 34 tahun yang dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini.

Kes pula disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera parah dengan niat membunuh.

Semalam, pasangan tunang itu diberkas polis kurang 24 jam selepas insiden itu yang dilaporkan berlaku jam 7.30 malam, di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor, di sini.

Polis turut merampas sebuah Proton Iriz yang digunakan suspek ketika kejadian.

Pasangan tunang yang disyaki melakukan cubaan bunuh dengan melanggar lari anggota polis sehingga parah pada Ahad lalu, direman seminggu bermula hari ini. FOTO L.MANIMARAN
Pasangan tunang yang disyaki melakukan cubaan bunuh dengan melanggar lari anggota polis sehingga parah pada Ahad lalu, direman seminggu bermula hari ini. FOTO L.MANIMARAN

Kejadian mengakibatkan anggota polis berpangkat Lans Koperal patah tulang rusuk dan tulang bahu.

Anggota polis dilapor dilanggar sebanyak dua kali sebelum pasangan terbabit memecut dari lokasi.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan dilaporkan berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah THC selain memiliki 17 rekod jenayah lampau manakala suspek wanita mempunyai dua rekod jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 3:18 PM