KUNA dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap anggota polis mangsa, minggu lalu. FOTO L Manimaran
KUNA dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap anggota polis mangsa, minggu lalu. FOTO L Manimaran
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Lelaki yang sebelum ini ditahan bersama tunangnya kerana dipercayai cuba membunuh anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa, minggu lalu.

Tertuduh, T Kuna, 34, memahami pertuduhan namun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu dituduh sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap Muhammad Dzulfaizi Dzulkafli, 34, dengan melanggarnya menggunakan Proton Iriz.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di hadapan kebun ladang sawit, Jalan Chemor di Tanjung Rambutan, di sini, kira-kira jam 8 malam, 4 Februari lalu.

Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohamad Nazreen menawarkan jaminan RM10,000 sementara menunggu laporan perubatan mangsa serta lantikan peguam.

Tertuduh bagaimanapun meminta jumlah itu dikurangkan dengan mengambil kira dia menjaga ibunya yang berusia emas selain pendapatannya sebagai pekebun sekitar RM1,500 sebulan.

Ainul Shahrin kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan tarikh 26 Mac untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan pasangan tunang ditahan selepas terbabit dalam kejadian langgar lari seorang anggota polis yang ditinggalkan dalam keadaan cedera parah termasuk mengalami patah tulang rusuk serta bahu susulan dilanggar Proton Iriz di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor, di sini, Ahad lalu.

Bagaimanapun, tunang kepada tertuduh dalam kes ini dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 12:27 PM