NORHISHAM (kiri) bersama adiknya, Bella yang hilang.
NORHISHAM (kiri) bersama adiknya, Bella yang hilang.
Alias Abd Rani


Batu Pahat: "Saya tak nak adik saya mati. Saya nak jumpa dia dalam keadaan masih hidup," itulah harapan Norhisham Samsusah, 36, kakak kepada Mila Sharmila, 32, atau Bella yang hilang sejak dua minggu lalu.

Walaupun naluri Norhisham ketika ini berada dalam keadaan ketakutan dan kegusaran, namun dia tetap yakin adiknya akan pulang ke rumah suatu hari nanti.

Norhisham yang ditemui wartawan di rumah sewa Bella di Taman Soga, di sini, berkata, dia tetap menganggap adiknya masih hidup walaupun menerima pelbagai berita dan spekulasi berhubung kehilangan adik kandungnya itu.

"Kami hanya dua beradik, saya takut kehilangannya. Sebab itu saya nak sangat adik (Bella) pulang dalam keadaan seperti sedia kala," katanya.

Menurutnya lagi, dia sekeluarga sudah melakukan ikhtiar termasuk meminta bantuan lebih lima pengamal Perubatan Islam sebelum ini.

"Namun mereka tidak dapat menentukan keberadaan Bella. Ada ustaz beritahu kami, Bella akan pulang ke rumah dalam masa terdekat tapi tidak diketahui sama ada hidup atau sebaliknya.

"Saya bertanyakan ustaz itu, tapi dia hanya menjawab 'insya-Allah' dan meminta kami banyak berdoa," katanya.

Dalam pada itu, Norhisham juga memberitahu Bella dan teman lelakinya berusia 24 tahun itu pernah berbincang mengenai perkahwinan mereka menerusi WhatsApp beberapa hari sebelum kehilangannya.

Namun, katanya, Bella dan teman lelaki yang dikenali sejak enam bulan lalu tidak menyatakan tarikh untuk tujuan itu.

"Panggilan terakhir Bella kepada teman lelakinya adalah pada 14 Disember lalu iaitu pada hari kehilangannya.

"Kami tidak pernah putus asa untuk mencarinya sehingga dijumpai. Kami sangat berharap dia selamat dan kembali ke pangkuan keluarga," katanya.

Dalam pada itu, Norhisham turut menghargai sikap prihatin orang ramai mengenai kehilangan Bella memandangkan dia dalam keadaan buntu ketika ini.

Katanya, dia mahukan sesiapa yang mengambilnya dan menghantar pulang ke rumah kerana bimbang kesihatan ibunya, Noraini Salleh, 55, yang lebih banyak berdiam diri.

"Kami tak minta atau tuntut apa-apapun daripada sesiapa terambil, tersorok, atau terkurung bella. Kami cuma minta Bella dikembalikan kepada kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 12:31 PM