GAMBAR yang disunting Ismanira bersama anaknya, Zayn.
GAMBAR yang disunting Ismanira bersama anaknya, Zayn.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Tahniah! Selamat bergraduasi Zayn Rayyan," tulis ibu kepada kanak-kanak autisme yang dibunuh, Zayn Rayyan Abdul Matiin iaitu Ismanira Abdul Manaf, 29.

Hantaran itu dimuat naik Ismanira di Instagram Story, yang turut memaparkan gambarnya yang disunting dengan arwah anaknya sebagai tanda kenangan.

"Mommy tak dapat nak bergambar bersama dengan abang macam ibu bapa yang lain, mommy dapat sunting macam ini saja," katanya.

Menurutnya, majlis konvokesyen itu diadakan di SK Damansara Damai (2), Petaling Jaya, Selangor, semalam.

"Mommy bangga dengan setiap pencapaian abang (Zyan). Tak kira besar atau kecil mana pun pencapaian abang, mommy tetap bangga.

"Terima kasih kepada warga SK Damansara Damai (2) di atas jemputan ke Majlis Konvokesyen semalam. Ia akan menjadi kenangan yang indah buat kami sekeluarga," katanya.

Menerusi hantaran di Instagram Story, Ismanira berkongsi pasti Zyan menjadi seorang yang paling gembira kerana mendapat banyak hadiah pada majlis itu.

"Kalau abang ada ni, memang abang dah tepuk tepuk tangan sambil lompat-lompat sebab gembira dapat hadiah banyak macam ini," katanya.

Pada majlis itu, Ismanira turut hadir bersama suami dan anak keduanya.

Terdahulu, mayat Zayn ditemui di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, kira-kira jam 10 malam 6 Disember lalu.

Sebelum ini media melaporkan pembunuhan kanak-kanak itu perlu diperincikan bagi mengenal pasti pelaku dan motif pembunuhan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan kes itu sudah melebihi 90 peratus dari segi konvensional, saintifik dan forensik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 9:02 AM