PETA zon pemindahan selamat disiarkan di laman web Pasukan Pertahanan Israel. FOTO IDF
PETA zon pemindahan selamat disiarkan di laman web Pasukan Pertahanan Israel. FOTO IDF
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Israel menggunakan strategi baharu dengan membahagikan Semenanjung Gaza kepada 2,375 blok kawasan lebih kecil dalam fasa peperangan kedua bermula Jumaat lalu.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam laman web mereka, menerbitkan 'peta zon selamat untuk pemindahan' dalam bahasa Arab yang meminta penduduk Gaza peka dengan blok kawasan masing-masing.

Peta itu menunjukkan, Semenanjung Gaza dibahagikan kepada beberapa blok kawasan yang setiap satunya ditandakan dengan nombor khas sehingga angka ke 2,375.

Menurut IDF, peta itu membolehkan penduduk Gaza membiasakan diri mereka dan memahami arahan serta berpindah dari tempat tertentu untuk keselamatan mereka.

Kenyataan bersama peta itu disiarkan di rangkaian sosial termasuk SMS kepada penduduk yang menetap di kawasan bernombor

sejak gencatan senjata berakhir Jumaat lalu.

Penduduk yang juga pencipta kandungan video dikenali sebagai Abomoaaz berkata, pembahagian kawasan itu cuma helah Israel untuk menghalalkan jenayah pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

"Ini akan digunakan sebagai alasan untuk kematian beramai-ramai kerana peluru berpandu peninjau digunakan sebagai mesej amaran sebelum memusnahkan rumah penduduk.

"Nampaknya dalam fasa kedua perang ini, mereka menggunakan cara lebih profesional.

"Ini kerana dunia menolak pembunuhan rambang dilakukan Israel jadi peta ini 'alat' pembunuhan terancang mereka," katanya menerusi Instagram story. Pengamal media, Plestia Alaqad pula berkata, mustahil melaksanakan pemindahan kerana penduduk tiada hala tuju memandangkan semua tempat di Gaza tidak selamat lagi.

"Semenanjung Gaza sudah terbahagi kepada tiga bahagian iaitu utara, kawasan Deir Al-Balah, tengah dan Khan Younis dan Rafah di sebelah selatan.

"Pemindahan hampir mustahil berlaku kerana tiada tempat selamat hingga membuatkan orang ramai pun tak tahu hendak ke mana lagi," katanya dalam perkongsiannya di Instagram pagi tadi.

Ketika ini, dianggarkan lebih 800,000 penduduk di wilayah utara dan Gaza City enggan berpindah biarpun dikepung dan diserang Israel bertubi-tubi sejak 7 Oktober lalu.

Kementerian Kesihatan Palestin memberi amaran penduduk di wilayah terbabit kini meneruskan kelangsungan hidup tanpa bekalan makanan dan akses perubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 12:29 PM