Sebuah kereta kebal Israel berada di tengah-tengah runtuhan ketika rakyat Palestin melarikan diri dari Khan Younis pada 27 Januari 2024. FOTO REUTERS/ Ibrahim Abu Mustafa
Sebuah kereta kebal Israel berada di tengah-tengah runtuhan ketika rakyat Palestin melarikan diri dari Khan Younis pada 27 Januari 2024. FOTO REUTERS/ Ibrahim Abu Mustafa
Bernama-Wafa

Ramallah: Kementerian Luar dan Ekspatriat Palestin menegaskan bahawa gencatan senjata segera adalah syarat perlu dan praktikal untuk memaksa Israel melaksanakan perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap orang awam serta menjamin keperluan asas kemanusiaan mereka.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, kementerian itu berkata pembunuhan beramai-ramai secara berterusan oleh Israel terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dilihat menjadi cabaran kepada Mahkamah Dunia dalam membuat keputusannya.

Ini juga berisiko mengheret wilayah itu ke dalam kemusnahan sistematik selanjutnya apabila pesawat pejuang Israel meneruskan sasaran mereka ke atas hospital dan stesen kumbahan, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Kementerian itu mengutuk perang pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Semenanjung Gaza untuk hari ke-113, mencerminkan niat jelas Israel untuk melengkapkan pemusnahan Gaza dan menjadikannya tidak boleh didiami.

Pada 29 Disember, Afrika Selatan memfailkan tuntutan di ICJ, memohon injunksi terhadap Israel atas alasan bahawa serangan negara itu ke atas Gaza melanggar Konvensyen Genosid.

Dalam keputusannya pada Jumaat, ICJ mengarahkan Israel melaksanakan enam langkah sementara, termasuk mencegah pembunuhan beramai-ramai di Gaza, memastikan tenteranya tidak lagi melakukan sebarang tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mencegah serta bertindak ke atas sebarang hasutan untuk pembunuhan beramai-ramai.

Israel juga diarah membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza, mencegah kemusnahan dan memastikan pemeliharaan bukti berkaitan dakwaan pembunuhan beramai-ramai dan menyerahkan laporan kepada ICJ mengenai semua langkah yang diambil dalam melaksanakan perintah itu dalam tempoh sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 12:53 AM