SKUAD B-23 negara berharap dapat menggunakan khidmat Arif Aiman di Piala Asia B-23 di Qatar, April depan. FOTO ARKIB NSTP
SKUAD B-23 negara berharap dapat menggunakan khidmat Arif Aiman di Piala Asia B-23 di Qatar, April depan. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jika demi negara, tidak salah untuk pemain sayap Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi dikerah mewakili skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan bagi mencapai keputusan positif pada aksi Piala Asia B-23, April depan.

Itu antara alasan diberikan rata-rata penyokong bola sepak tempatan menerusi tinjauan Arena Metro di tiga platform utama media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter sama ada wajarkah Arif Aiman dipanggil bersama skuad B-23 negara kelak.

Tinjauan itu mendapati sebahagian besar penyokong bola sepak tempatan terutama di Instagram bersetuju jika khidmat pemain berusia 21 tahun itu turut dimanfaatkan oleh pasukan muda negara.

Berdasarkan tinjauan di Instagram menunjukkan 73 peratus iaitu kira-kira 368 pelayar bersetuju Arif Aiman dipanggil mewakili skuad B-23 manakala 27 peratus (133 pelayar) menyatakan sebaliknya.

Situasi berbeza di platform Facebook apabila mendapati 50.2 peratus membabitkan 1,122 pelayar tidak bersetuju dengan cadangan terbabit manakala 49.8 peratus (1,114 pelayar) pula bersetuju pemain itu beraksi bersama skuad B-23.

Pelayar X (Twitter) lebih memilih supaya Arif Aiman yang juga tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk fokus kepada skuad senior apabila 54 peratus tidak bersetuju pemain itu disenaraikan dalam pasukan B-23 manakala 46 peratus pula menyokong.

Walaupun hasil tinjauan di Facebook dan Twitter lebih kepada tidak menyokong, melihat kepada keputusan itu terdapat penyokong bola sepak tempatan mengharapkan skuad B-23 dapat menurunkan Arif Aiman bagi membantu meraih keputusan positif di pentas Piala Asia.

Menurut pelayar Facebook dikenali sebagai usmandb, skuad B-23 ada hak untuk memanggil Arif Aiman dalam usaha menguatkan pasukan bagi memperoleh keputusan positif.

"Bila kalah nanti mula salahkan pasukan tapi nak panggil pemain terkuat wakil B-23 kena kecam kata terlalu harapkan Arif Aiman...Biarlah pasukan nak panggil Arif Aiman," katanya.

"Kesian pengurusan B-23 sebab nak panggil (Arif Aiman) pun salah...Bila kalah nanti pun disalahkan juga," kata Yusuf87.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan skuad B-23 mengharapkan 'restu' pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya melepaskan ayam tambatannya itu beraksi bersama pasukan muda itu pada kempen Piala Asia B-23.

Harapan menggunung itu disuarakan pengurus skuad B-23 negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang melihat kehadiran Ariff Aiman dapat menyuntik lagi semangat pemain muda lain untuk beraksi lebih cemerlang pada kejohanan besar itu.

Walaupun mengetahui permintaan terbabit agak berat, Shahril mengharapkan hasrat itu dapat dipertimbangkan walaupun perlawanan Piala Asia B-23 berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 8:38 PM