ARIF Aiman lebih diperlukan skuad senior Harimau Malaya bagi persiapan menghadapi Piala Asia, tahun depan. FOTO ARKIB NSTP
ARIF Aiman lebih diperlukan skuad senior Harimau Malaya bagi persiapan menghadapi Piala Asia, tahun depan. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bintang bola sepak tanah air, Arif Aiman Hanapi terlalu bagus buat pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) negara dan sentuhannya lebih diperlukan skuad senior Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Perkara itu diakui pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon yang menyatakan khidmat Arif Aiman lebih diperlukan pasukan senior yang kini dalam persiapan menghadapi Piala Asia di Qatar, Januari tahun depan.

Katanya, beliau tidak akan melepaskan pemain lincah Johor Darul Ta'zim (JDT) itu bersama skuad B-23, namun sedia melepaskan pemain lain untuk memperkuatkan skuad kendalian E Elavarasan.

"Mereka (barisan kejurulatihan B-23) dalam peringkat menyenaraikan pemain terbaik pada September ini bagi mengharungi Kelayakan Piala Asia B-23, dan kami akan hantar pemain untuk B-23.

"Jadi kami akan terus memantau pemain terbaik untuk kelayakan (Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November ini) dan Piala Asia nanti.

"Kecuali Arif Aiman (kekal dengan skuad senior)...pemain ini saya rasa jauh lebih bagus untuk bermain dengan B-23, Arif Aiman saya akan bawa ke pasukan senior.

"Lain (pemain lain), kami akan hantar ke skuad B-23 dan saya percaya ia akan beri pengalaman yang lebih untuk mereka beraksi di peringkat antarabangsa," katanya.

Skuad B-23 bakal mengharungi Kelayakan Piala Asia B-23 pada September ini apabila pasukan negara diletakkan dalam Kumpulan H bersama tuan rumah, Thailand, Filipina dan Bangladesh.

Juara setiap kumpulan dan lima naib juara terbaik akan layak automatik ke Piala Asia B-23 bersama Qatar selaku tuan rumah bagi melengkapkan 16 pasukan di pusingan akhir itu nanti.

Tiga pasukan terbaik di Qatar pula akan meraih tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 4:06 PM