ARIF Aiman ketika beraksi bersama JDT. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
ARIF Aiman ketika beraksi bersama JDT. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas penyerang berbisa Harimau Malaya, Safee Sali menyifatkan pemain lincah Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi masak sebelum matang dan sememangnya perlu diletakkan dalam skuad senior kebangsaan.

Safee yang muncul pemain pertama negara beraksi di Liga Indonesia selepas muncul penjaring terbanyak Piala AFF pada 2010 lalu, mengakui gaya permainan Arif Aiman cukup matang walaupun usianya baru 21 tahun.

Katanya, keputusan ketua jurulatih skuad senior Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang tidak akan melepaskan Arif Aiman untuk pasukan bawah 23 (B-23) negara adalah sangat tepat.

"Memang saya setuju dengan kenyataan (Pan-gon) itu, memang tahap Arif Aiman memang bukan B-23 dah.

"Walaupun dia masih ada peluang main di peringkat umur sebegitu, tapi dengan keyakinan dan corak kematangan, dengan corak permainan Arif Aiman dia hanya boleh beraksi untuk skuad senior.

"Dia mampu menyumbang lebih banyak untuk pasukan kebangsaan," katanya ketika ditemui pada majlis perjanjian penajaan antara Liga Bolasepak Amatur (AFL) dengan MBSB Bank Berhad yang akan menjadi penaja utama untuk musim 2023 dan 2024.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan Pan-gon tidak akan melepaskan Arif Aiman ke skuad B-23 bagi tugasan antarabangsa bermula September ini. bulan depan.

Ujar jurulatih dari Korea Selatan itu, sentuhan Arif Aiman sangat ditagih untuk skuad senior Harimau Malaya yang dalam rangka persiapan bagi kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November ini, dan saingan Piala Asia di Qatar, Januari depan.

Untuk rekod, skuad B-23 akan mengharungi kempen kelayakan Piala Asia B-23 2024 pada September ini dengan skuad Elavarasan diundi dalam Kumpulan H bersama Thailand, Bangladesh dan Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 12:39 PM