ARIF Aiman (kanan) menjaringkan gol sulung ketika JDT menang 3-0 ke atas Negeri Sembilan FC pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. FOTO AZRUL EDHAM
ARIF Aiman (kanan) menjaringkan gol sulung ketika JDT menang 3-0 ke atas Negeri Sembilan FC pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. FOTO AZRUL EDHAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara meletak harapan tinggi supaya beberapa bintang muda seperti tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi menjadi sebahagian daripada 'keluarga' mereka di pentas Piala Asia B-23, tahun depan.

Walaupun ada segelintir pihak mengatakan situasi terbabit mungkin sukar direalisasikan, namun kehadiran beberapa pemain muda bertaraf bintang seperti Arif Aiman mampu menutup kelompongan di bahagian jentera serangan skuad muda negara.

Situasi terbabit diakui pengurus pasukan skuad B-23 negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang tidak pernah berhenti berharap Arif Aiman dan beberapa pemain muda lain boleh dilepaskan untuk mewakili skuad B-23 di pentas Piala Asia.

"Perancangan itu tidak pernah mati (memanggil Arif Aiman) dan setiap masa apabila berbincang bersama Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, ada panggilan skuad B-23 sudah pastinya bertanya Arif Aiman boleh dipanggil atau sebaliknya.

"Terpulang pada pucuk pimpinan (FAM) kerana bagi kami, senang ada pemain dan akan buat kerja untuk pastikan skuad muda dapat keputusan positif.

"Saya berdoa pada Mei tahun depan kalau ada rezeki pemain seperti ini dapat membantu pasukan B-23 negara," katanya.

Bagaimanapun, sebelum ini, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengesahkan Arif Aiman adalah aset penting buat skuad senior negara.

Terdahulu, skuad B-23 negara sah layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Qatar pada 15 April hingga 3 Mei tahun depan selaku empat pasukan naib juara terbaik.

Sementara itu, Shahril berkata, tempoh tujuh bulan sebelum berlangsungnya Piala Asia B-23 boleh dikatakan bukanlah lama, sekali gus pihaknya perlu merangka strategi bermula sekarang untuk memastikan skuad muda negara mampu memberi tentangan sengit.

"Perlawanan akan bermula pada Mei tahun depan dan ada tempoh tujuh bulan saja untuk buat persiapan rapi.

"Sudah pasti, lawan akan ditemui nanti lebih bersedia dan hebat di rantau Asia ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 11:47 AM