PEMUDA yang mendakwa ditipu wanita berstatus isteri dan ibu dua anak. FOTO Ihsan Fb
PEMUDA yang mendakwa ditipu wanita berstatus isteri dan ibu dua anak. FOTO Ihsan Fb
Redzuan Muharam


Kuching: Impian seorang pemuda mendirikan rumah tangga berkecai dan hari bahagianya juga  bertukar menjadi mimpi ngeri selepas ditipu 'tunangnya' yang rupanya sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.

Penipuan wanita yang dipercayai bertugas sebagai anggota beruniform sebuah agensi kerajaan itu terbongkar selepas ibu saudaranya sendiri mendedahkan hal sebenar.

Pendedahan dibuat sewaktu kunjungan pemuda bersama rombongan keluarganya tiba di rumah pengantin perempuan pada 10 November lalu yang sepatutnya menjadi hari pernikahan.

Lebih membuatkan pemuda itu kecewa adalah kerana dia dan wanita berkenaan sudah bertunang pada 12 Oktober tahun lalu  dalam satu majlis di sini.

Majlis pertunangan diadakan dekat rumah kakak iparnya dan mengikut permintaan wanita itu serta bapanya.

Katanya, semua persiapan perkahwinan sudah dibuat termasuk memberi wang hantaran kepada keluarga pengantin perempuan namun lain pula jadinya apabila dia menanggung kerugian dan malu selepas ditipu.

Pemuda itu mengesyaki ada yang tidak kena selepas tunangnya hilang tanpa khabar berita pada 9 November lalu iaitu hari dia bersama rombongan keluarga tiba di inap desa di Daro, Sarawak.

Dia juga gagal menghubungi wanita itu yang didakwa sudah menyekat nombor telefonnya.

"Rombongan kami (dari Kuching) berangkat pada jam 6 pagi dan tiba di Daro kira-kira jam 5 petang.

"Sampai di Daro, kami terus pergi ke inap desa sudah ditempah oleh pengantin perempuan untuk rombongan kami  berjumlah 22 orang yang menaiki sebuah van dan tiga kereta.

"Kemudian, kami terkejut apabila pemilik inap desa cakap tak ada apa-apa pesanan bilik diterima untuk tarikh itu, saya pun telefon berkali-kali bakal pengantin perempuan tapi tak ada respon.

"Disebabkan terlalu penat sangat, nak tak nak terpaksa juga bayar guna duit sendiri untuk inap desa termasuk perbelanjaan lain yang sepatutnya diuruskan pengantin perempuan. Bukan main lagi beritahu dekat emak yang  inap desa sudah diurus semua tinggal nak datang je," tulisnya menerusi hantaran di Facebook (FB).

Meskipun begitu, pemuda berkenaan cuba berfikiran positif dengan berehat kemudian siapkan keperluan untuk majlis keesokannya.

Pagi keesokannya, pemuda itu bergerak ke alamat diberi dengan rombongan bersama barang hantaran.

"Sampai je kat situ dah rasa pelik sebab macam tak ada apa-apa sambutan, kosong! Persiapan majlis langsung tak ada.

"Saya cuba telefon bakal pengantin perempuan dengan bapa dia, dua-dua tak boleh dihubungi. Alamat betul, tapi rumah tak ada orang. Memang dah agak sesuatu yang tak kena.

"Kami ambil keputusan nak pergi rumah jiran sebelah, rupanya tuan rumah itu emak saudara si pengantin perempuan.

"Jadi kita orang  beritahu tujuan datang dan tanya fasal pengantin perempuan. Kita orang tanya sama ada kenal tak dengan pengantin perempuan tu.. Bertambah geram dan terkejut bila mereka beritahu nama sebenar dia (nama lain)

"Yang lagi parah perempuan tu dah berkahwin dan ada dua orang anak. Ayah dia pun bersubahat sekali dalam  kes ini sebab tak jujur dari awal," tulisnya.

Luah pemuda berkenaan, perasaannya bercampur baur dan berasa sangat tertipu dengan perbuatan wanita itu.

Dia turut tidak menyangka bagaimana bapa wanita berkenaan sanggup bersubahat dan membiarkan anaknya yang berstatus isteri orang serta sudah ada dua cahaya mata bertunang dengannya.

"Memang 'speechless' (hilang kata-kata), kecewa, marah, sedih semua ada, tak mampu nak cakap apa masa tu. Dengan kos kerugian persiapan perkahwinan lagi.. duit hantaran dah dibagi juga. Maruah keluarga lagi.. mana nak letak," katanya.

Oleh kerana kesal dengan pa yang terjadi menyebabkan pemuda berkenaan bersama keluarganya ke balai polis untuk membuat laporan .

"Mohon jabatan untuk ambil tindakan yang tegas terhadap anggota ini.

"Takkan nak simpan anggota yang bermasalah macam ini. Kami sekeluarga pun dia berani tipu apa lagi dalam jabatan.

"Harap ada tindakan yang tegas diambil apa pun.. see you in court (jumpa kamu di mahkamah).

"Banyak lagi benda yang dia tipu tapi tak mampu nak tulis panjang dekat sini," tulisnya yang berharap perkongsiannya itu dapat dijadikan iktibar dan pengajaran bersama.

Usaha Harian Metro untuk mendapatkan pemuda itu bagi mendapatkan cerita lanjut belum berhasil apabila mesej dihantar menerusi FB tidak dibalas.

Harian Metro juga sudah menghubungi  jabatan berkenaan namun belum mendapat kenyataan rasmi sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 3:34 PM