Remaja perempuan berusia 15 tahun sanggup menipu neneknya sebelum ditahan polis di sebuah inap desa di Taman Seri Kota, Jalan Kuala Kedah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Remaja perempuan berusia 15 tahun sanggup menipu neneknya sebelum ditahan polis di sebuah inap desa di Taman Seri Kota, Jalan Kuala Kedah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun sanggup menipu nenek kononnya hendak pergi bercuti bersama rakan namun sebenarnya, pergi berpesta di inap desa sebelum ditahan polis.

Remaja yang masih bersekolah itu ditahan bersama 22 individu lain pada serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, jam 3.30 pagi tadi.

Remaja terbabit mengaku menipu neneknya untuk mengikut teman lelakinya berusia 20-an ke inap desa berkenaan tanpa mengetahui tujuan sebenar mereka ke sana.

Dia mendakwa tidak tahu apa yang berlaku di situ sebelum lokasi terbabit diserbu polis.

"Ini kali pertama saya ke sini sebab ikut teman lelaki. Ibu bapa saya tinggal di luar Kedah dan saya tinggal dengan tok (nenek) sejak cuti sekolah.

"Saya bagitau tok nak pergi bercuti dengan kawan-kawan," katanya di lokasi serbuan.

Seorang lagi remaja perempuan berusia 17 tahun berkata, dia baru pulang kerja di sebuah kedai makan dan datang di situ hanya untuk melepak.

Katanya, dia yang menetap di pusat bandar raya ini sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini namun ditangguh ke tahun depan disebabkan Covid-19.

"Saya tak kenal pun sesiapa di sini, cuma ikut kawan lelaki, lepas lepak saya balik sebab esok perlu bekerja," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semua pusat hiburan masih tidak dibenarkan beroperasi di negeri ini.

Beliau berkata, sekiranya ada pusat hiburan beroperasi, tindakan akan terus diambil.

"Pihak kami sentiasa melakukan pemantauan kerana walaupun pusat hiburan ditutup, namun ada yang menyewa inap desa, rumah tumpangan atau hotel untuk berhibur.

"Sepanjang November, ada dua kes kita ambil tindakan kerana berhibur di inap desa dan hotel di negeri ini.

"Kompaun RM1,000 turut dikenakan terhadap individu yang ditahan kerana ingkar PKPP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 8:10 PM