BOM fosforus putih  diharamkan namun masih terus diguna pakai Pasukan Pertahanan Israel (IDF).
BOM fosforus putih diharamkan namun masih terus diguna pakai Pasukan Pertahanan Israel (IDF).
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Suhaila Khairie


Kuala Lumpur: Kulit tubuh cair dan melecur teruk sebaik terkena letupan bom fosforus putih dijatuhkan pesawat tentera Israel.

Bom yang diharamkan di peringkat antarabangsa itu ternyata giat digunakan 'pengganas' Pasukan Pertahanan Israel (IDF) bagi membunuh serta menyeksa seramai mungkin penduduk Palestin di Tebing Gaza.

Melalui satu kenyataan Pejabat Media Kerajaan Gaza, keadaan luka melecur pada mayat syuhada dan mangsa yang cedera membuktikan penggunaan berleluasa senjata fosforus putih yang diharamkan itu.

Menurutnya, berdasarkan keadaan fizikal mangsa, rata-rata anggota tubuh mangsa akan mengalami kesan melecur luar biasa dari bahagian atas hingga ke kaki selepas terdedah kepada bom 'gila' itu.

"Penggunaan bom fosforus putih di Gaza iaitu di kawasan paling padat penduduk di dunia, meningkatkan risiko kecederaan kepada orang awam dan melanggar larangan undang-undang antarabangsa.

"Bom fosforus ini yang meletup di udara tidak hanya membakar kediaman malah membunuh manusia yang berlindung di dalamnya. Manakala mangsa yang cedera akan menderita seumur hidup kesan melecur dialami," kata kenyataan itu.

Berdasarkan serangan tentera Israel di Al-Mina, Gaza, penduduk memaklumkan melihat letupan bom di langit sebelum garisan asap putih menuju ke bumi.

Dalam kejadian serangan waktu pagi itu, mereka turut menghidu bau yang sangat kuat dan tengik kesan serangan bom fosforus.

"Tentera Israel menggunakan bom dan peluru artileri fosforus putih yang akan menyala serta merta apabila terdedah kepada oksigen. Bom ini akan terus terbakar sehingga ia kekurangan oksigen atau kehabisan.

"Tindak balas kimia bom ini boleh menghasilkan haba sangat kuat sehingga 815 darjah Celsius. Apabila bersentuhan, fosforus putih boleh membakar manusia secara haba dan kimia," katanya.

Menurutnya, kebakaran disebabkan bom fosforus putih boleh merebak ke kawasan yang luas dan kebakaran itu akan berterusan sehingga fosforus di kawasan berkenaan habis.

"Lebih mengerikan apabila kimia fosforus ini boleh membakar dan menghakis hingga ke tulang mangsa. Kimia fosforus ini turut larut umpama asid dalam daging manusia. Serpihan fosforus putih turut akan memburukkan lagi luka walaupun selepas rawatan diberikan," katanya.

Menurutnya, kimia fosforus turut boleh memasuki aliran darah dan menyebabkan pelbagai kegagalan organ pada mangsa.

"Ini antara punca mangsa yang diserang bom fosforus akan maut walaupun luka dialami agak kecil. Bagi mangsa yang terselamat, parut melecur yang terhasil akan mengetatkan tisu otot dan menyebabkan ketidakupayaan fizikal.

"Semua ini akan menyebabkan kesan trauma teruk dan psikologi kepada mangsa terutama kanak-kanak yang menjalani rawatan menyakitkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perhubungan Awam Kementerian Pendidikan di Gaza, Abu Ayesh berkata, Human Rights Watch sebelum ini turut mengumpul bukti penggunaan bom fosforus oleh Israel dalam operasi ketenteraan di Gaza berdasarkan video dirakam pada 10 dan 11 Oktober lalu.

Video menunjukkan beberapa letupan bom fosforus putih di udara diarahkan ke pelabuhan bandar Gaza dan dua lokasi luar bandar di sepanjang sempadan Israel-Lubnan. Asap putih tebal dan bau kuat seakan bawang putih adalah ciri bom fosforus putih.

LETUPAN bom yang dijatuhkan tanpa henti oleh jet pejuang rejim Zionis di bandar Tebing Gaza.
LETUPAN bom yang dijatuhkan tanpa henti oleh jet pejuang rejim Zionis di bandar Tebing Gaza.

"Walaupun bukti diperolehi namun pihak berkuasa Israel enggan mengulas sama ada mereka menggunakan bom fosforus putih untuk menyerang Gaza.

"Selain senjata zalim digunakan itu, pihak tentera Israel turut menggunakan pelbagai jenis bom lain bagi memusnahkan bangunan kerajaan, hospital, sekolah, kawasan kediaman padat dan infrastruktur di Gaza sejak 22 hari lalu.

"Antara bom kerap digunakan bagi meranapkan kawasan kediaman dan membunuh penduduk Gaza adalah bom MK-82, MK-84, bom RDX dan bom MLGB yang mengakibatkan letupan skala besar," katanya.

Menyedari pejuang Hamas berlindung di dalam terowong bawah tanah, IDF turut aktif menggunakan bom MPR-500 dan bom BLU-109 yang mampu menembusi tembok konkrit tebal serta mengakibatkan letupan di bawah tanah.

Penggunaan secara agresif pelbagai bom berteknologi tinggi ini mengakibatkan 7,326 penduduk Gaza maut dan 18, 967 cedera setakat semalam dalam siri serangan tanpa henti Israel sejak 7 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 11:31 AM