BOM seismik yang digunakan tentera Israel untuk memusnahkan kediaman serta terowong milik pejuang Al-Qassam.
BOM seismik yang digunakan tentera Israel untuk memusnahkan kediaman serta terowong milik pejuang Al-Qassam.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: "Tidak cukup dengan 30,000 tan bom digugurkan sejak 7 Oktober lalu, tentera Israel dipercayai turut menggunakan bom seismik bagi mencetuskan letupan lebih besar serta gegaran gempa bawah tanah," ujar Pengerusi Muslim Care Malaysia Cawangan Palestin Abu Ayesh Al Najjar.

Beliau berkata, tentera Israel dikesan menjatuhkan bom seismik yang menyebabkan berlaku gegaran dengan kekuatan 3.5 skala Richter di Semenanjung Gaza.

"Saya antara mangsanya yang merasai senjata bom seismik 'gempa bumi' digunakan tentera Israel bertujuan memusnahkan jaringan terowong bawah tanah dan kubu pejuang jihad Briged Al-Qassam.

"Bom yang asalnya pernah digunakan pada Perang Dunia ke-2 menyebabkan kesan gegaran gempa bumi sebaik ia menembusi tanah dan meletup.

"Malapetaka yang dibawa bom ini meningkatkan lagi jumlah kematian mangsa selain kemusnahan kediaman atau bangunan di permukaan tanah. Bom ini tidak kurang dahsyatnya berbanding bom MK-82, MK-84 dan bom fosforus putih digunakan Pasukan Pertahanan Israel (IDF)," katanya yang cedera di kepala selepas kediamannya di Khan Younis, selatan Gaza, runtuh dibom tentera Israel subuh kelmarin.

Tragedi turut meragut nyawa abangnya, Abduallah Al Najjar dan ahli keluarga lain.

Difahamkan bom gempa bumi ini akan meledak dan menggoncangkan bumi Semenanjung Gaza yang dikepung tentera Israel dari setiap penjuru sejak 34 hari lalu.

Berdasarkan maklumat, bom seismik biasanya dijatuhkan dari altitud tinggi untuk mencapai kelajuan maksimum bagi menembusi permukaan tanah dan meletup jauh di bawahnya.

Selain menghasilkan gegaran dan gelombang kejutan yang kuat, letupan bom konvensional ini turut menghasilkan kawah besar. Bom ini pernah digunakan secara meluas untuk memusnahkan dinding konkrit, binaan bawah tanah, terowong, gua dan jambatan.

Penggunaan bom seismik ini dibuktikan apabila pihak tentera Israel mengeluarkan kenyataan semalam, mendakwa berjaya memusnahkan 130 terowong Hamas di Tebing Gaza sejak operasi darat dimulakan 30 Oktober lalu.

"Apa yang dilakukan tentera Israel ini adalah krisis kemanusiaan paling dahsyat dan mengerikan. Angka penduduk Gaza yang terbunuh terus meningkat saban hari dan tiada tanda-tanda serangan Israel akan berhenti," katanya.

Abu Ayesh berkata, pejabat media kerajaan di Gaza memaklumkan menerima puluhan laporan kejadian pembunuhan membabitkan ratusan mayat rakyat Palestin di jalanan di kawasan berbeza di bandar Gaza.

"Mereka cuba mencari perlindungan di lokasi atau kem pelarian selamat namun dibunuh kejam melalui serangan jet pejuang IDF.

"Tidak pasti sampai bila penduduk Palestin di Gaza perlu mengharungi seksaan dan konflik genosid ini. Gencatan senjata diharapkan komuniti antarabangsa seolah-olah masih kabur. Dunia hanya berdiam dan hanya mengira jumlah penduduk Palestin yang mati dibunuh setiap hari," katanya.

Menurutnya, bunyi tembakan masih kedengaran dari semua arah dan pertempuran sengit antara pejuang Hamas Al-Qassam dan tentera darat Israel masih berterusan.

"Berdasarkan maklumat dikongsi pejabat media kerajaan di Gaza, secara purata, hospital si Semenanjung Gaza menerima seorang mangsa cedera setiap minit sejak permulaan pencerobohan dilakukan dan 15 mangsa terbunuh setiap jam.

"Purata bilangan kanak-kanak yang terbunuh adalah enam orang bagi setiap sejam diikuti lima wanita terkorban bagi setiap sejam," katanya.

Menurutnya, separuh daripada hospital di Semenanjung Gaza dan 62 peratus pusat jagaan primer tidak lagi dapat beroperasi dengan berkesan.

"Selain itu sebanyak 70 peratus penduduk Semenanjung Gaza dipindahkan secara paksa dari rumah mereka akibat pengeboman berterusan dan serangan udara.

"Lima puluh peratus daripada unit kediaman di Semenanjung Gaza rosak atau musnah akibat pengeboman dan serangan udara Zionis.

"Turut musnah, 33 peratus sekolah di Semenanjung Gaza rosak akibat pengeboman, dan kira-kira sembilan peratus daripadanya tidak lagi beroperasi," katanya..

Berdasarkan maklumat dikongsi semalam, seramai 10,569 penduduk Gaza terkorban setakat ini dengan 26,457 lagi mengalami kecederaan serius.

Jumlah itu membabitkan 4,324 mangsa di kalangan kanak-kanak. Turut terkorban 142 doktor dan petugas kesihatan di Gaza.

Tambah menyeksakan apabila semua kedai roti di utara Gaza terpaksa ditutup berikutan kekurangan bekalan bahan api, air dan tepung gandum selain kerosakan dialami.

Di selatan Gaza, sebanyak 11 kedai dan kilang roti dimusnahkan tentera Zionis dalam siri serangan sejak 7 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 6:50 AM