Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Sembilan individu didakwa di Mahkamah Majistret Jenayah hari ini, atas pertuduhan menculik wanita warga Indonesia yang juga isteri seorang kontraktor pada 7 September lalu.

Tertuduh ialah Mohamad Noor Shahrizuan Hashin, Tan Gim Chun, C Youganathan, Lok Wai Lun, Haffizan Samsudin, Noorazlin Mat Kasa termasuk seorang wanita, Elaine Gooi Swee May selain dua lelaki rakyat Indonesia, Yussuf Bahtiar dan Agong Laksono.

Terdahulu mereka tiba di pekarangan mahkamah diiringi ketat oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang kira-kira jam 8.30 pagi.

Kesemua tertuduh berusia 29 hingga 41 tahun terbabit hanya mengangguk tanda faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa namun tiada pengakuan direkodkan dalam prosiding di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menculik mangsa yang berusia 36 tahun dengan tujuan menuntut wang tebusan sebanyak RM540,000 di sebuah unit Pangsapuri Sri Aman, Paya Terubong di sini, kira-kira jam 7 pagi pada 7 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Akta 365) dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Darrshini S Murgan manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Chiang Kian Hong.

Tiada jaminan dibenarkan kerana kesalahan itu tidak boleh diikat jamin dengan mahkamah kemudian menetapkan 11 Disember ini bagi tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pada 22 September lalu, media melaporkan seorang wanita melalui detik menakutkan apabila diculik, dikurung dan diseksa selama 10 hari di sebuah rumah angkara suaminya yang dikatakan tidak membayar hutang.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin dilaporkan berkata, seorang lelaki Indonesia membuat laporan di Balai Polis Kinrara, Selangor, mendakwa isterinya yang sedang bercuti di Georgetown, diculik sekumpulan individu tidak dikenali.

Lelaki terbabit mendakwa isterinya dikurung dan dicederakan di lokasi yang tidak diketahui dan suspek meminta wang berjumlah RM540,000 bagi melepaskan mangsa.

Wanita malang yang turut dicucuh puntung rokok manakala kukunya diumpil menggunakan jarum itu akhirnya berjaya diselamatkan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Pulau Pinang dan JSJ Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 11:16 AM
SEMBILAN individu berdepan pertuduhan menculik wanita warga Indonesia yang juga isteri seorang kontraktor pada 7 September lalu di Mahkamah Majistret Jenayah di sini, hari ini. FOTO Mikail Ong
SEMBILAN individu berdepan pertuduhan menculik wanita warga Indonesia yang juga isteri seorang kontraktor pada 7 September lalu di Mahkamah Majistret Jenayah di sini, hari ini. FOTO Mikail Ong