TERTUDUH dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen di sini kerana salah guna kuasa membabitkan pembekalan pejantan dan induk bebiri bagi projek PPNT. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
TERTUDUH dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen di sini kerana salah guna kuasa membabitkan pembekalan pejantan dan induk bebiri bagi projek PPNT. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Bekas Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) dipenjara lima tahun dan didenda RM1.54 juta di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana salah guna kuasa membabitkan pembekalan pejantan dan induk bebiri bagi projek PPNT bernilai RM303,546.

Tertuduh, Che Sa'adon Che Yahya, 58, turut berdepan hukuman penjara dua tahun lagi bagi setiap pertuduhan sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Dazuki Ali membuat keputusan itu selepas tertuduh didapati bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan dengan memilih Syarikat Arcana Jaya Enterprise bagi membuat pembekalan dan menghantar pejantan dan induk bebiri berjumlah RM107,050.

Tertuduh yang juga Ahli Lembaga Pengarah Gapets Sdn Bhd mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan yang juga milik anaknya.

Tertuduh sekali lagi didakwa menggunakan jawatannya dengan memilih syarikat sama bagi membekalkan perkara sama untuk projek berjumlah RM196,496.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Gapets di sini pada 1 November dan 4 Disember 2016.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM540,000 bagi pertuduhan pertama manakala hukuman penjara lima tahun dan didenda RM1 juta bagi pertuduhan kedua.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh dan Pegawai Pendakwa Nur Athikah Aziz manakala tertuduh diwakili peguam, Zul Basyar Saharrudin dan Mohd Zul Azhan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 9:36 PM