SKUAD B-23 mempunyai peluang bukti kemampuan di Piala Asia B-23 tahun depan. FOTO FAM
SKUAD B-23 mempunyai peluang bukti kemampuan di Piala Asia B-23 tahun depan. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Barisan pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) negara menjadikan 'abang' mereka sebagai contoh atau idola bagi mengharungi kempen Piala Asia B-23 di Qatar, tahun depan.

Tonggak skuad B-23 negara Aiman Afif berkata, keputusan positif dikecapi skuad kendalian Kim Pan Gon dengan mencatatkan keputusan seri pada perlawanan persahabatan menentang Syria dan China baru-baru ini meniup semangat mereka untuk beraksi cemerlang pada perlawanan akan datang.

"Memang sebagai pemain muda akan menjadikan skuad senior sebagai motivasi lebih-lebih lagi selepas mereka mencatatkan keputusan seri menentang Syria dan China," katanya.

Pada aksi persahabatan baru-baru ini menyaksikan skuad Harimau Malaya mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Syria sebelum cemerlang mengikat pasukan di ranking 80 dunia iaitu China 1-1.

Keputusan itu secara tidak langsung memberikan aura positif kepada kem skuad kebangsaan yang lain untuk beraksi cemerlang terutamanya bertemu pasukan lebih kuat atau berada di ranking 100 terbaik dunia.

Sementara itu, Aiman yang beraksi di posisi penyerang tidak akan lemah semangat walaupun skuad B-23 negara menerima kritikan negatif daripada penyokong bola sepak tanah air susulan prestasi hambar pada kempen kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-23, di Thailand.

"Bagi kami apa yang peminat cakap itu kita ambil ia sebagai satu cabaran dan motivasi. Memang ini bukan mudah untuk kita tapi kita akan cuba buat yang terbaik.

"Bagi saya ini rezeki kita layak ke Piala Asia sekali lagi. Jadi dari situ kita boleh perbaiki kelemahan kita pada perlawanan sebelum ini dan berharap pada kejohanan itu nanti kita akan buat yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 5:23 PM