Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: "Lima hari sudah berlalu, namun memori menyayat hati ketika mengutip cebisan mayat mangsa di lokasi pesawat terhempas masih terus 'melekat' di fikiran," kata Pegawai Operasi, Pasukan Khas Pertahanan Awam (Paspa) Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kang Wei Xian.

Menurutnya, dia antara individu yang terbabit dalam operasi khas bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Unit Polis Forensik dan Unit Forensik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak Khamis lalu.

"Seramai 10 anggota Pasukan Khas Pertahanan Awam mula diaktifkan untuk melakukan kerja mencari dan menyelamat mangsa nahas pada jam 3.15 petang Khamis lalu iaitu sejurus pesawat Beechcraft Premier 1 itu terhempas dan meletup.

"Selain itu, APM Selangor juga menghantar 13 anggota dari Daerah Klang dan Petaling bagi membantu operasi berkenaan. Pos Kawalan Tempat Kejadian (APM) turut dibuka di tapak nahas," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, tugasan utama APM membantu pasukan Forensik PDRM dan pegawai Forensik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan mangsa dari lokasi kejadian.

"Sebagai pegawai operasi Paspa, tugasan utama saya adalah menyelaraskan kerja mencari dan menjejaki mengikut protokol DVI (pengecaman mangsa bencana) ditetapkan.

"Selain itu, saya juga adalah Liason Officer (pegawai perhubungan) antara Ground Zero dan juga Pusat Kawalan Operasi Pusat (PKOP). Malah pada hari kejadian, saya turut terbabit dalam tugasan mengumpul dan mengutip cebisan mayat mangsa.

"Perasaan sedih sukar digambarkan ketika melihat mayat mangsa," katanya.

Menurutnya, mereka cuba sedaya upaya mencari semua cebisan mayat mangsa yang terdapat di Ground Zero sebelum menyerahkannya kepada Forensik KKM.

"Walaupun semua 10 mangsa sudah meninggal dunia, apa yang kami lakukan ini dianggap penghormatan terakhir kepada semua mereka.

"Sukar digambarkan detik-detik akhir mangsa sebelum pesawat itu menjunam daripada kelajuan tinggi dan terhempas ke bumi. Situasi di Ground Zero dipenuhi bangkai pesawat yang hancur sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, situasi menyayat hati di tapak nahas pesawat itu membuat dia dan anggota APM lain amat bersimpati kepada mangsa dan ahli keluarga mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 7:05 AM