Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi dan Nurul Hidayah Bahaudin


Shah Alam: Salah seorang mangsa insiden pesawat dipercayai terhempas dekat kawasan perumahan Elmina di Seksyen U16, di sini, hari ini dipercayai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pahang.

Difahamkan Adun terbabit yang juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pahang itu menaiki pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) nombor pendaftaran N28JV petang tadi.

Pesawat dikendalikan oleh Jetvalet Sdn Bhd berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 2:08 petang ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

Difahamkan pesawat itu membawa enam penumpang dan dua kru terhempas menyebabkan seorang penunggang motosikal turut terkorban.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) nombor pendaftaran N28JV terhempas berhampiran Elmina, Shah Alam, hari ini.

Komunikasi pertama yang dibuat oleh pesawat dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang adalah pada 2.47 petang dan pelepasan pendaratan diberikan pada 2.48 petang.

Agensi itu dalam kenyataan memaklumkan, pada 2.51 petang, Menara Kawalan Trafik Udara Subang memerhatikan asap yang berasal dari lokasi nahas tetapi tiada panggilan 'mayday' dibuat oleh pesawat.

Pusat Penyelarasan Penyelamat Aeronautik Kuala Lumpur (KL ARCC) diaktifkan untuk menyelaraskan misi mencari dan menyelamat.

Seramai enam penumpang dan dua kru penerbangan berada di dalam pesawat dan keadaan mereka masih belum ada untuk disahkan pada masa akhbar.

Siasatan keselamatan akan dijalankan oleh Air Biro Siasatan Kemalangan di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut dengan Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

WARIS mangsa nahas pesawat terhempas berhampiran Bandar Elmina. FOTO Asyraf Hamzah
WARIS mangsa nahas pesawat terhempas berhampiran Bandar Elmina. FOTO Asyraf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 5:23 PM