Chee Hoi Lan bersama anak angkatnya Rohana Abdullah. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Chee Hoi Lan bersama anak angkatnya Rohana Abdullah. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Perbezaan agama dan bangsa bukanlah penghalang untuk Keluarga Malaysia hidup harmoni dan saling memahami.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, ia dibuktikan dengan kisah hidup Rohana Abdullah, 22, yang dijaga Chee Hoi Lan, 83, sejak kecil.

Katanya, beliau tersentuh apabila mendengar kisah berkenaan dan kagum dengan kedua-dua mereka yang boleh hidup bersama biarpun berbeza agama.

"Tersentuh hati saya bila mendengar kisah Rohana Abdullah dan ibu angkatnya, Pn Chee Hoi Lan yang tular, baru-baru ini.

"Meskipun berbeza agama dan bangsa namun masih lagi boleh hidup bersama penuh dengan kasih sayang sebagai sebuah keluarga," katanya menerusi Facebook.

Halimah berkata, usaha Rohana mendapatkan taraf kewarganegaraan mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Begitu juga dengan keikhlasan dan ketulusan Chee Hoi Lan membesarkan Rohana dengan didikan seorang Muslim turut mendapat perhatian umum.

"Semoga usaha dan ikhtiar untuk membantu Rohana dan Chee Hoi Lan ini dipermudahkan," katanya.

Sabtu lalu, sejarah tercatat dalam hidup gadis berkenaan apabila dia menerima panggilan telefon daripada Ismail Sabri.

Dalam perbualan itu, Rohana turut berkongsi kisah hidupnya bersama Hoi Lan yang dipanggil Laoshi dan meminta Perdana Menteri membantunya mendapatkan dokumen pengenalan diri.

Ismail Sabri memaklumkan bahawa beliau akan meminta pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengambil keterangan Rohana dan Hoi Lan untuk tindakan lanjut.

Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan, kemurnian hati Hoi Lan yang membesarkan Rohana sejak berusia dua bulan.

Ia selepas ibunya, Salimah Osman terpaksa pulang ke Indonesia kerana permitnya tamat tempoh dan sejak itu, anaknya dijaga warga emas itu sehingga kini.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 8:55 AM