ROHANA Abdullah. FOTO Amirudin Sahib
ROHANA Abdullah. FOTO Amirudin Sahib
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin mengarahkan pegawainya untuk menyiasat kesahihan maklumat Rohana Abdullah berhubung soal kerakyatan.

Katanya dia tersentuh apabila dimaklumkan perkara itu.

Menurutnya, maklumat itu perlu disiasat kesahihannya sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Saya berasa tersentuh apabila dimaklumkan berhubung perkara ini pada minggu lalu dan telah mengarahkan pegawai saya untuk menyiasat kesahihan maklumat yang diberikan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan," katanya menerusi Facebook hari ini.

Jumaat lalu Harian Metro melaporkan kisah gadis berusia 22 tahun itu yang dijaga seorang warga emas berketurunan Cina, Chee Hoi Lan, 83, sejak berusia dua bulan.

Rohana yang kini bekerja sebagai guru tuisyen, berharap dapat memiliki sekurang-kurangnya kad pengenalan sementara untuk memudahkan kehidupannya.

Semalam, gadis itu menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertanyakan mengenai kisahnya seperti yang disiarkan Harian Metro.

Perdana Menteri turut memaklumkan akan cuba membantu Rohana dan Hoi Lan serta memberikan kata-kata semangat kepada mereka.

Kisah berkenaan yang menyentuh hati banyak pihak, menarik perhatian ramai khususnya netizen yang memberikan komen menerusi platform media sosial Harian Metro.

Rata-rata mereka kagum dengan kemurnian hati Hoi Lan yang sanggup menjaga Rohana walaupun berbeza agama.

Mereka juga mendoakan agar hasrat Hoi Lan untuk melihat Rohana mempunyai dokumen pengenalan dan mendirikan rumah tangga tercapai.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 11:47 AM